Pemecatan salah: Bekas pembantu juruterbang Airasia diberi pampasan, tunggakan gaji RM147,400

Pemecatan salah: Bekas pembantu juruterbang Airasia diberi pampasan, tunggakan gaji RM147,400


Putrajaya: Mahkamah Rayuan hari ini memberikan pampasan dan tunggakan gaji sebanyak RM147,400 kepada bekas pembantu juruterbang AirAsia Berhad (AAB) yang dipecat secara salah semasa penularan pandemik COVID-19 pada 2020.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Azmi Ariffin, Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin dan Datin Paduka Evrol Mariette Peters membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan How Zheng Hong untuk mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi yang menolak semakan kehakimannya.

Azmi, yang mempengerusikan panel itu, menganugerahkan jumlah itu merangkumi gaji tertunggak selama 24 bulan dan pampasan sebagai ganti pengembalian jawatan.

Mahkamah turut mengambil kira pembayaran sebelum ini sebanyak RM16,500 yang dibuat oleh AAB sebagai pampasan bagi pemberhentian kerja dan RM23,100 untuk pendapatan selepas pemecatan.

Ketika menyampaikan keputusan sebulat suara itu, Azmi berkata Mahkamah Perusahaan dan Mahkamah Tinggi telah terkhilaf apabila bergantung kepada kerugian terkumpul Kumpulan AirAsia Berhad (AAGB) untuk mewajarkan pemecatan seorang pekerja AAB, yang merupakan entiti berasingan.

Beliau berkata prinsip entiti undang-undang berasingan memerlukan kedudukan kewangan anak syarikat dinilai berdasarkan meritnya sendiri dan tidak diambil daripada syarikat induk.

Mahkamah turut mengarahkan AAB, perkhidmatan pesawat tambang murah yang juga anak syarikat sepenuhnya milik AAGB, membayar kos sebanyak RM50,000.

AAGB kini dikenali sebagai Capital A Berhad.

Azmi juga berkata kebergantungan AAB terhadap rekod cuti sakit How sebagai asas pemberhentian kerja adalah tidak adil secara asasnya dan terjumlah kepada penyimpangan daripada prinsip last-in, first-out atau “yang terakhir masuk, yang pertama keluar.”

“Penuntut secara kontrak berhak mendapat cuti sakit selama 22 setahun. Mengambil cuti sakit apabila tidak sihat bukanlah satu kelemahan dari segi prestasi sebaliknya keperluan keselamatan kerana bagi juruterbang, mereka wajib berada dalam keadaan sihat sebelum menerbangkan pesawat.

“Penilaian prestasi yang rendah sebelum ini telah dijadikan senjata secara retroaktif (oleh majikan) untuk mewajarkan pemecatan penuntut, dan Mahkamah Perusahaan serta Mahkamah Tinggi telah terkhilaf menerimanya alasan yang sah,” katanya.

Azmi berkata How telah tampil dengan penyelesaian yang munasabah dan berniat baik iaitu secara sukarela menawarkan untuk mengambil cuti tanpa gaji selama dua tahun bagi menyelamatkan pekerjaannya.

Beliau berkata ia satu cadangan daripada seorang pekerja setia selama hampir 11 tahun yang sanggup mengorbankan diri berkhidmat tanpa sebarang bayaran bagi membantu syarikat mengharungi krisis ketika itu.

How menyertai AAB pada 2009 namun diberhentikan pada Jun 2020, dan pada 15 Mei 2023.

Mahkamah Perusahaan menolak tuntutannya dengan memutuskan bahawa AAB telah berjaya membuktikan berdasarkan imbangan kebarangkalian bahawa pemecatan How adalah dengan alasan dan sebab yang wajar.

How kemudian memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi antara lain memohon perintah certiorari bagi membatalkan keputusan Mahkamah Perusahaan serta pampasan sebagai ganti pengembalian jawatan.

Bagaimanapun pada 3 Oktober 2024, Mahkamah Tinggi menolak semakan kehakiman How menyebabkan beliau merayu ke Mahkamah Rayuan.

Peguam Lai Chee Hoe, yang mewakili How, memaklumkan mahkamah bahawa anak guamnya kini bekerja sebagai juruterbang di syarikat lain.

Beliau juga berkata selepas diberhentikan kerja, How menjadi pemandu e-panggilan.

AAB mendakwa sebab How diberhentikan ialah kerana kesulitan dari segi kewangan memandangkan syarikat penerbangan itu mengalami kerugian susulan sekatan perjalanan dan kawalan sempadan yang mengurangkan permintaan bagi perjalanan udara selain penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Yang turut mewakili How ialah peguam Deyvinah Ganesalingam dan Low Yen Hau manakala Wendy Lam Mei Kuan serta Wong Jia Ee bertindak bagi pihak AAB.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top