nfazlina@nstp.com.my
Kota Bharu:Jabatan Peguam Negara memaklumkan pihaknya akan meneliti secara saksama dan adil berhubung kes guru yang dipercayai merempuh dua pelajar di dalam sekolah tengah hari kelmarin sebelum proses pendakwaan dilakukan.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, berkata setakat ini Polis Diraja Malaysia (PDRM) belum menyerahkan kertas siasatan kepada pihaknya.
“Perkara ini akan diteliti secara saksama dan adil selepas siasatan lengkap diperoleh dari PDRM.
“Setakat ini kita belum putuskan guru berkenaan akan didakwa mengikut seksyen yang mana sebaliknya menunggu kertas siasatan daripada PDRM terlebih dahulu.
“Kita akan buat keputusan sebaik siasatan selesai sepenuhnya.
“Saya percaya siasatan polis mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana mangsa meninggal dunia, namun keputusan akhir untuk tuduh belum dipastikan mengikut seksyen mana,” katanya ketika dihubungi.
Terdahulu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat memaklumkan guru yang dipercayai merempuh dua pelajar berkenaan akan didakwa dalam masa terdekat.
Katanya, guru berusia 57 tahun itu kini dibebaskan dengan jaminan polis.
© New Straits Times Press (M) Bhd





