am@hmetro.com.my
Tanah Merah: Tiga lelaki maut dalam kemalangan membabitkan sebuah lori dan sebuah treler kejadian di Lebuhraya Timur Barat dekat sini, awal pagi tadi.
Kejadian 4.15 pagi itu menyebabkan tiga mangsa iaitu pemandu lori, Norazeman Abdul Aziz, 42, dan dua kelindan, Mohd Haikal Hanifah, 29, dan Mohammad Zakwan Mohd Nor, 16, maut di lokasi kejadian.
Komander Operasi, Mat Nuri Mohamad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.26 pagi dan seramai 12 anggota termasuk pegawai bergegas ke lokasi kejadian.
Katanya, sebaik sampai, pihaknya mendapati kemalangan membabitkan sebuah lori lima tan membawa bekalan ayam melanggar sebuah treler yang diparkir di tepi jalan.
“Kemalangan membabitkan tiga mangsa tersepit dan mereka dikeluarkan oleh anggota bomba.
“Mereka disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) dan mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya di sini, hari ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd
