Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu menggesa pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lenggeng agar terus memberikan sokongan kepada Pakatan Harapan (PH) pada hari pengundian 1 Ogos bagi memastikan kerajaan sedia ada di Negeri Sembilan dapat dikekalkan.
Mahu berkhidmat untuk rakyat

Menerusi perkongsian di Facebook, menurut beliau, kesinambungan pentadbiran Kerajaan Harapan penting supaya pelbagai usaha dan kerja untuk kepentingan rakyat dapat diteruskan tanpa gangguan.
Berucap pada Ceramah Kelompok di DUN Lenggeng pada malam Isnin, Mohamad Sabu yang mesra disapa Bang Mat berkata sambutan dan semangat yang ditunjukkan penduduk setempat amat memberangsangkan.
“Alhamdulillah, ramai yang datang bagi sokongan. Semangat orang Lenggeng memang terbaiklah.
“Mesej Bang Mat mudah saja malam ni. 1 Ogos nanti, pakat turun ramai-ramai pangkah HARAPAN. Kita kekalkan Kerajaan HARAPAN di Negeri Sembilan ini supaya kerja untuk rakyat dapat diteruskan.
“Tak payah pening-pening, kita jaga Negeri Sembilan elok-elok. Insya-Allah, kita monang!” katanya.

Terdahulu, Mohamad turut mengadakan sesi walkabout di KIPMall Senawang bagi meninjau bekalan dan harga barangan keperluan harian yang dijual di premis berkenaan.
Beliau berkata, hasil tinjauannya mendapati bekalan makanan asas seperti ayam, daging, telur dan sayur-sayuran berada dalam keadaan mencukupi selain dijual pada harga yang berpatutan.
Artikel lain: BN makin mesra PN? Mat Sabu akui Amanah kini berada di persimpangan
“Lepas minum petang, Bang Mat walkabout di KIPMall Senawang. Datang tengok barang-barang keperluan harian kat sini. Tengok ayam, daging, telur, sayur… Alhamdulillah semua ada. Harga pun berpatutan,” tambahnya lagi.
Sumber: Facebook Mohamad Sabu






