PETALING JAYA: Seramai 50 anggota tambahan daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) akan ditempatkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi memperkukuh kawalan keselamatan khususnya dalam usaha membanteras kegiatan penyeludupan dadah.
Perkara itu disahkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Hussein Omar Khan yang memaklumkam Ketua Polis Negara (KPN) telah meluluskan penambahan anggota tersebut sebagai langkah awal untuk memperkukuh penugasan di KLIA.
“Sebagai bantuan awal, KPN meluluskan penugasan tambahan 50 anggota daripada Unit PGA di KLIA dalam masa terdekat.
“Ketika ini, seramai 69 anggota JSJN sudah ditempatkan di KLIA dan sememangnya terbabit dalam operasi sebelum ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, kerajaan memaklumkan, beberapa penambahbaikan perlu dilaksanakan dalam kadar segera melibatkan keselamatan penerbangan iaitu menempatkan anggota PDRM AVSEC di lapangan terbang susulan penahanan seorang pembantu juruterbang Malaysia Airlines (MAG) di Indonesia minggu lalu kerana disyaki menyeludup dadah.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dimaklumkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pengangkutan (MOT) menerusi mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail dilaporkan menyatakan, PDRM bersedia memberi komitmen penuh dalam menjayakan keputusan kerajaan untuk menempatkan anggotanya dalam AVSEC di lapangan terbang negara.
Penglibatan polis dijangka memperkukuh perkongsian risikan, pengesanan awal, penyelarasan penguatkuasaan serta tindakan pantas terhadap ancaman keselamatan dan kegiatan jenayah dalam sektor penerbangan.-UTUSAN






