SEBANYAK 68.75 kilogram (kg) sampah dengan sebahagian besarnya sisa plastik berjaya dikumpul pada program OSK Beach Combing (Comb-at) di Pantai Balok, Kuantan, baru-baru ini.
Usaha membersihkan pesisir pantai sejauh 1.4 kilometer itu selari dengan komitmen OSK Group dalam menangani masalah sisa marin sekali gus menyokong kelestarian destinasi pelancongan di Malaysia.
Pengarah Eksekutifnya, Datuk Saiful Bahri Zainuddin berkata, inisiatif itu dalam masa sama membantu pihaknya memahami jenis dan corak sisa yang terdapat di sepanjang pesisir pantai berkenaan.
Katanya, pemahaman tersebut penting bagi membolehkan langkah menangani masalah dirancang dengan lebih berkesan dan menyeluruh dalam jangka panjang.
“Program Comb-at ini dilaksanakan selama setahun di Pantai Balok, yang menempatkan Swiss-Grand Beach Resort Kuantan, salah satu perniagaan hospitaliti kami yang beroperasi lebih tiga dekad.
“Kami percaya persekitaran bersih, terpelihara dan menarik merupakan sebahagian daripada pengalaman yang ditawarkan kepada masyarakat serta pengunjung.
“Justeru, apabila kami membangunkan dan menguruskan sesuatu kawasan, kami juga bertanggungjawab memastikan persekitarannya sentiasa terpelihara,” katanya.
Program berkenaan melibatkan seramai 100 peserta termasuk warga kerja OSK Group, penduduk setempat, sukarelawan dan pelajar Kolej Teknologi Termaju Jabatan Tenaga Manusia Kampus Kuantan.
Sementara itu, anak jati Pantai Balok, Muhammad Azharil Aznaidy Saiful Baharin, 20, menyertai aktiviti tersebut bagi membantu memastikan pantai yang dikunjunginya sejak kecil kekal bersih.
“Pantai ini bukan sekadar tempat beriadah, malah sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat di sini.
“Tentunya saya tidak mahu kawasan ini dicemari dan berharap kebersihannya terus dijaga supaya dapat dinikmati generasi akan datang,” katanya.
