rnoraina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Polis sudah melengkapkan kertas siasatan berhubung insiden kekecohan dan mencederakan Ketua Polis Daerah Dang Wangi di Kampung Sungai Baru di sini, minggu lalu.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, kertas siasatan berkenaan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR), namun dikembalikan semula kelmarin.
“Kertas siasatan itu dikembalikan dengan beberapa arahan lanjut dan akan dirujuk semula pada jam 3.30 petang ini, dengan cadangan pertuduhan bagi semua individu yang ditahan.
“Secara keseluruhan seramai lapan individu ditahan dan dibebaskan dengan jaminan polis selepas tamat tempoh reman,” katanya dalam kenyataan tadi.
Selain itu, Mohamed Jan berkata, setakat ini seramai 67 individu diambil keterangan bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Beliau berkata, mereka terdiri daripada 52 saksi polis termasuk Ketua Polis Daerah Dang Wangi, empat pengadu, tiga pegawai mahkamah, masing-masing dua anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan pegawai perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL), masing-masing seorang peguam, wakil penduduk, pengarah syarikat serta wanita yang juga penjaga kepada salah seorang tangkapan.
Dalam kejadian 11 September lalu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman cedera akibat dibaling batu semasa operasi pengosongan bangunan di Kampung Sungai Baru, di sini.
Pegawai kanan terbabit kemudian dikejarkan ke HKL untuk rawatan lanjut.
Operasi berkenaan susulan arahan mahkamah bagi melaksanakan proses perobohan struktur rumah di kawasan berkenaan dengan diketuai oleh bailif mahkamah bersama beberapa agensi berkaitan.
Proses pengambilan tanah bagi pembangunan semula kawasan itu bermula sejak tahun 2016 dan membabitkan keseluruhan 67 unit rumah teres serta 14 blok pangsapuri.
© New Straits Times Press (M) Bhd