90 peratus penaja kekal bersama Liga M musim depan – Shazli

90 peratus penaja kekal bersama Liga M musim depan – Shazli


mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Di sebalik pelbagai cabaran melanda bola sepak tempatan, nilai komersial Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dilihat masih kukuh apabila majoriti penaja memilih untuk terus kekal bersama saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd mendedahkan 90 peratus penaja sedia ada sudah memberikan lampu hijau untuk meneruskan kerjasama bagi musim 2026/2027.

Menurut beliau, daripada 10 penaja utama ketika ini, sembilan sudah mengesahkan komitmen untuk terus bersama Liga M.

“Alhamdulillah, MFL telah mendapat 90 peratus pengesahan daripada penaja sedia ada untuk kekal bersama kami musim hadapan.

“Daripada 10 penaja, sembilan masih kekal untuk menaja dan satu lagi masih dalam proses rundingan serta belum membuat keputusan,” katanya.

Apa yang lebih menarik, MFL bukan sahaja berjaya mengekalkan penaja lama, malah turut menerima minat daripada syarikat baharu yang mahu menjadi sebahagian daripada ekosistem Liga M.

Shazli menjelaskan ketika ini terdapat dua penaja baharu yang sedang dalam proses rundingan untuk menyertai saingan musim depan.

“Kita mendapat dua penaja baharu yang sedang dirundingkan untuk musim hadapan.

“Ini menunjukkan penaja masih yakin dengan Liga Malaysia dan masih melihat nilai komersial yang ada pada saingan ini,” katanya.

Perkembangan itu dilihat memberi suntikan positif kepada landskap bola sepak tempatan ketika pelbagai pihak sebelum ini mempertikaikan kestabilan kewangan Liga M.

Malah, keyakinan penaja untuk terus bersama liga secara tidak langsung membuktikan produk bola sepak tempatan masih mempunyai daya tarikan tersendiri di mata industri korporat.

Pada masa sama, MFL turut menegaskan penaja yang masih belum mengesahkan tajaan bukan menarik diri sepenuhnya, sebaliknya masih berada dalam fasa perbincangan.

Buat masa ini, rundingan berkenaan masih berjalan dan belum dimuktamadkan sepenuhnya oleh kedua-dua pihak.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top