July 19, 2024

90 peratus skuad taekwondo AUG 2024 berpeluang galas cabaran edisi 2026

90 peratus skuad taekwondo AUG 2024 berpeluang galas cabaran edisi 2026


ATLET taekwondo Sukan Universiti ASEAN (AUG) Surabaya-Malang 2024 masih berpeluang menggalas cabaran negara pada temasya dwi tahunan yang dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur 2026.

Namun begitu menurut pengurus skuad taekwondo negara ke AUG Surabaya-Malang 2024, Panneer Selvem Indiran, atlet-atlet berkenaan perlu berada dalam kedudukan ranking 10 teratas negara.

Selain itu jelasnya, mereka juga perlu memenangi pingat dalam kejohanan antarabangsa sepanjang tempoh satu tahun setengah ini bagi membolehkan skuad taekwondo menyediakan pasukan berdaya saing memburu juara keseluruhan acara tersebut.

“Kebanyakan atlet taekwondo AUG 2024 kali ini merupakan atlet muda dipilih dengan kerjasama Taekwondo Malaysia (TM/WT) yang secara asasnya hampir 90 peratus berpeluang bertanding pada AUG 2026.

“Biarpun begitu jurulatih taekwondo AUG 2024, Syed Taufiq Syed Abdul Hamid, Jin Jun-beom, Anirut Chuencharoen menetapkan atlet bertanding di AUG 2026 perlu berada dalam ranking Malaysia,” katanya pada Rabu.

Sementara itu, Panneer Selvem Indiran menyifatkan kejayaan skuad taekwondo mengakhiri kemarau 16 tahun pingat emas dalam acara kyurogi lelaki AUG 2024 menerusi Muhammad Syafiq Zuber sebagai pelengkap kepada pencapaian sasaran sukan tempur berkenaan di edisi Surabaya-Malang 2024.

Malah jelasnya, emas dijelmakan dari kategori kyorugi lelaki Bawah 87 kilogram (kg) menjentik kembali kali terakhir skuad sukan tempur berkenaan meraih medal tersebut dalam edisi Kuala Lumpur 2008.

“Skuad taekwondo AUG 2024, mencapai sasaran ditetapkan Bahagian Sukan Kementerian Pendidikan Tinggi iaitu dua pingat emas sekaligus mengatasi pencapaian satu emas semasa di edisi Ubon Ratchathani 2022.

“Edisi Ubon Ratchathani 2022, skuad taekwondo membawa pulang satu emas, enam perak dan satu gangsa manakala saingan Surabaya-Malang 2024, dua emas, tiga perak dan lima gangsa.

“Dan lebih manis, edisi ke-21 ini juga skuad taekwondo negara mengakhiri kemarau 16 tahun untuk pingat emas acara kyurogi satu motivasi awal kepada pasukan negara sebelum menyingkap cabaran AUG Malaysia 2026,” katanya.

Pada masa sama Panneer Selvem Indiran juga mengakui bangga apabila atlet yang pertama kali beraksi pada temasya dwi tahunan itu memanfaatkan sepenuh peluang beraksi di pentas kompetitif tersebut.

“Antara yang mencipta kejutan adalah Nadia Aina Syazwani Ishak apabila mara ke pentas final sebelum tewas kepada pengalaman petarung tuan rumah, Indonesia, selain Luqman Haqim Suhaimi pemenang pingat gangsa kali ini.

“Saya percaya kedua-dua atlet ini mampu menyerlah di AUG 2026, dan memerlukan perhatian serius dari aspek strengthening dan conditioning bagi tujuan itu,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!



Source link

OR

Scroll to Top