Johor Bahru: Walaupun 90 peratus tubuhnya berbalut dan kehilangan jari akibat penyakit kulit kronik, remaja 15 tahun ini tetap kental dan tidak pernah hilang semangat untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Ibunya, Noor Halimaton Hashim, 45, berkata keadaan anak bongsunya, Muhammad Hazreel Mikhail Hizar atau mesra dengan gelaran Hazreel yang menghidap penyakit kulit genetik Epidermolysis Bullosa (EB) sejak lahir semakin membimbangkan.
“Hampir semua jari tangan Hazreel sudah tiada akibat dimakan oleh penyakit kulitnya namun dia tidak pernah hilang semangat untuk terus melawan penyakitnya,” katanya ketika ditemui di PPR Johor Bahru di sini, hari ini.
Menurut Noor Halimaton, proses membersihkan Hazreel biasanya mengambil masa selama enam jam dan dilakukan dua hari sekali, manakala balutan di bahagian paha perlu diganti setiap hari.
“Hampir setiap kali memandikannya, dia menangis kerana seluruh badannya akan berasa pedih, kemudian perlu memastikan tubuhnya sudah kering sepenuhnya sebelum saya membalutnya,” katanya.
Beliau menjelaskan, penyakit genetik itu tidak berjangkit namun pergerakan Hazreel sangat terbatas dan dia tidak disarankan ke sekolah kerana dikhuatiri memudaratkan keadaannya.
Katanya, biarpun tumbesaran tidak normal, daya pemikiran remaja itu menyamai rakan sebaya dan dia menyimpan hasrat untuk bersekolah serta bermain bola sepak.
“Kulit Muhammad Hazreel menjadi terlalu sensitif dan mengeluarkan gelembung air dan melecet sehingga membuatkan keadaan jari kaki dan tangannya yang sebelum ini normal mula bercantum akibat terlalu kerap melecet dan sakit kulitnya juga mula memakan jari-jarinya,” katanya.
Mengenai situasi keluarga, Noor Halimaton yang kini dalam proses bercerai bekerja sebagai ejen sambilan sebuah syarikat produk isi rumah dengan pendapatan tidak menentu, selain perlu menanggung dua lagi anak yang menuntut di institusi pengajian tinggi awam.
Menurutnya, kos keperluan Hazreel termasuk lampin pakai buang dan kain balutan mencecah lebih RM600 sebulan.
“Saya bersyukur kerana menerima bantuan bulanan RM300 daripada Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) dan RM500 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Memang kami bukan hidup senang sehingga saya tidak mampu memikirkan soal persiapan Aidilfitri kerana bagi saya apa yang lebih penting adalah keperluan Hazreel dan kakak sulung serta abangnya, berusia 19 dan 20 tahun,” katanya.
Terdahulu, Hazreel menerima sumbangan barangan dapur bernilai RM1,000 daripada Pengurus Besar Pasaraya Econsave Cash And Carry, Mas Imran Adam.
Penderitaan Hazreel pernah didedahkan akhbar ini pada 2016 yang lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd






