Jadi Anak Didik Shiha Zikir, Raes Arifin Lancar Single Debut Jalan Cinta

Jadi Anak Didik Shiha Zikir, Raes Arifin Lancar Single Debut Jalan Cinta


Penyanyi baharu yang dicungkil bakatnya menerusi sebuah program realiti, Raes Arifin kini tampil dengan single pertama berjudul Jalan Cinta.

Artis naungan Shiha Zikir Empire (SZE) itu meluahkan rasa syukur kerana karya sulung yang cukup dekat dengan dirinya akhirnya dapat diperdengarkan kepada umum.

Raes menyatakan minatnya terhadap muzik dan nyanyian sudah tertanam sejak lama. Baginya, nyanyian berperanan sebagai medium untuk bangkit daripada cabaran hidup.

“Saya benar-benar bersyukur kerana dapat mengikuti minat yang saya cintai sejak dulu. Bagi saya, nyanyian menjadi ruang untuk bangun semula selepas pelbagai pengalaman yang menguji diri,” katanya.

Menurut Raes, lagu terbitan SZE dan Sony Music Malaysia itu mengangkat kisah cinta yang biasa dialami ramai orang.

“Jalan Cinta mengisahkan seseorang yang memberi seluruh jiwa kepada hubungan, namun takdir tiba-tiba memisahkan mereka. Dalam diam, dia tetap berharap dapat bersatu semula. Namun akhirnya dua takdir berbeza terbentuk apabila insan yang dicintai memilih orang lain,” katanya.

Raes menambah bahawa mesej lagu itu boleh dikaitkan dengan banyak perjalanan peribadi.

“Pada saya, cinta saya ialah dunia nyanyian. Ia sudah menjadi sebahagian daripada hidup saya dan turut menyelamatkan saya daripada pengalaman dibuli, anxiety disorder serta ujian yang hampir melemahkan semangat sebelum ini.

“Ada baris lirik yang berbunyi ‘dan aku merayu, jalan cinta ini tak berakhir dulu’, dan itu menggambarkan harapan saya agar suara ini terus kekal bersama saya, kerana dengan suara inilah saya bangkit semula,” jelasnya.

Raes turut berkongsi kesungguhan Shiha Zikir sebagai pemilik SZE dan gurunya dalam memastikan pelancaran single pertamanya mencapai standard terbaik.

“Saya serahkan sepenuhnya pada Shiha dan pihak label untuk memilih lagu yang serasi dengan suara saya. Saya difahamkan banyak lagu disaring sebelum mereka menjumpai Jalan Cinta. Siapa yang mengenali Shiha tahu dia seorang yang ceria, tetapi apabila masuk soal pemilihan lagu, khususnya lagu pertama saya, sikapnya berubah menjadi sangat fokus dan tegas,” ceritanya.

Selepas pemilihan lagu dimuktamadkan, Raes diberi masa untuk mendengar dan menyesuaikan penyampaian mengikut gaya sendiri dengan bimbingan Shiha.

“Syukur proses rakaman tidak mengambil masa lama. Dalam 40 minit ke satu jam sahaja sudah selesai,” katanya.

Raes mengambil kesempatan untuk merakamkan penghargaan kepada seluruh pasukan SZE yang sentiasa menyokong perjalanan kerjayanya.

“Tiada kata yang cukup untuk saya ucapkan kepada SZE, terutama Shiha. Bermula dari pencarian SZ Talent Discover, kemudian pertandingan Gimme The Mic Malaysia dan kini Jalan Cinta pula, semuanya dilakukan dengan penuh usaha untuk membentuk diri saya sebagai penyanyi. Dari perkara kecil sampai yang besar, SZE sentiasa ada,” katanya.

Menutup bicara, Raes berharap Jalan Cinta dapat diterima baik dan menjadi antara lagu yang menemani pendengar ketika berdepan momen galau.

“Saya berharap single ini membuka ruang untuk saya menembusi industri muzik tanah air, sekali gus mendekatkan saya dengan kelab peminat saya, sunRaes, yang sentiasa bersama sejak awal,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top