AMK Melaka lancar jentera pilihan raya hadapi PRN


am@hmetro.com.my

Ayer Keroh: Angkatan Muda Keadilan (AMK) melancarkan jentera pilihan raya sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak lama lagi.

Pelancaran disempurnakan Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim sejurus selesai menyampaikan ucapan dasar pada Kongres AMK 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini malam ini.

Pada majlis itu, Muhammad Kamil yang diiringi Pemangku Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Melaka yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Adam Adli Abdul Halim menyerahkan bendera kepada semua wakil 28 Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai gimik pelancaran jentera berkenaan.

Pelancaran itu memberi isyarat bahawa AMK mula memperhebat persiapan menghadapi PRN Melaka, walaupun tarikh rasmi pilihan raya berkenaan masih belum diumumkan.

PRN Melaka yang dijangka diadakan menjelang hujung tahun ini bakal menjadi medan penting bagi parti politik memperkukuh sokongan serta mempertahankan pengaruh masing-masing, khususnya dalam kalangan pengundi muda.

Pada PRN Ke-15 pada 2021, PKR gagal memperoleh sebarang kerusi selepas kemenangan berpihak kepada Barisan Nasional (BN) yang menang 21 kerusi, diikuti DAP (empat), Perikatan Nasional (dua) dan AMANAH (satu).

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top