Bulgaria jadi tuan rumah tiga peringkat awal Giro d'Italia 2026

Bulgaria jadi tuan rumah tiga peringkat awal Giro d'Italia 2026


Rom: Bulgaria akan menjadi tuan rumah tiga peringkat pertama Giro d’Italia tahun depan sebelum perlumbaan legenda itu kembali menabalkan juaranya di Rom, umum penganjur RCS.

Ia menandakan kali ke-16 Giro bermula di luar Itali dan kali kedua berturut-turut selepas Albania menjadi lokasi pembukaan tiga peringkat edisi tahun ini yang dimenangi pelumba Britain, Simon Yates.

“Ada beberapa keputusan dalaman pasukan sama ada saya akan kembali atau tidak, tapi saya sangat mahu mempertahankan (gelaran),” kata Yates kepada media.

“Saya mahu berada di sini, cuma ia bukan keputusan saya sepenuhnya.”

Sejak 2010, tujuh permulaan Giro berlangsung di luar Itali, termasuk di Baitulmaqdis pada 2018.

Untuk edisi 2026 yang berlangsung dari 9 hingga 31 Mei, peloton akan membuka kayuhan di pesisir Laut Hitam antara Nessebar dan Burgas.

Hari kedua menyajikan tiga pendakian kategori tiga dalam perlumbaan sejauh 220 kilometer (km) menuju Veliko Tarnovo, kota bersejarah yang dikenali sebagai City of the Tsars.

Peringkat ketiga pula membabitkan laluan 174km dari Plovdiv ke ibu negara Sofia, termasuk satu pendakian kategori dua menuju Borovets Pass.

Selepas itu, perlumbaan kembali ke Itali dengan peringkat keempat antara Catanzaro dan Cosenza di selatan negara itu.

Dari situ, kayuhan semakin menghala ke utara menuju kawasan pergunungan yang bakal menentukan pemilik maglia rosa.

Secara keseluruhan, pelumba bakal menempuh ketinggian mendaki 50,000 meter sepanjang 3,458km perlumbaan, yang berakhir dengan peringkat perarakan tradisi di Rom.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top