am@hmetro.com.my
Temerloh: Sebanyak 434 basikal elektrik bernilai lebih RM400,000 termasuk nilai duti dan cukai dirampas selepas didapati pengimport barangan itu disyaki melakukan pengikraran palsu.
Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang Mohd Asri Seman, berkata, rampasan dilakukan jam 10.50 pagi, di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, Selangor, 9 Oktober lalu.
Menurutnya, tindakan itu dilakukan selepas pemeriksaan mendapati syarikat pengimport mengikrar barangan itu sebagai basikal biasa, basikal lumba dan basikal kanak-kanak.
Katanya, harga basikal elektrik itu dianggarkan RM272,200 dan nilai duti serta cukai mencecah RM127,891.
“Kontena itu tidak diikrar berisi basikal elektrik kerana barang itu dilarang import.
“Basikal elektrik hanya boleh diimport jika mempunyai permit import daripada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI),” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Mohd Asri berkata, pihaknya sudah mengenal pasti sebuah syarikat di Lembah Klang disyaki mengimport dan melakukan pengikraran palsu itu.
Menurutnya, siasatan sedang dilakukan termasuk mengetahui jumlah sebenar basikal elektrik sudah diimport dan diseludup menerusi modus operandi pengikraran palsu seumpama itu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 dan sabit kesalahan boleh dipenjara hingga lima tahun dan denda.
© New Straits Times Press (M) Bhd






