Peguam Negara putuskan inkues kes tembak Durian Tunggal

Peguam Negara putuskan inkues kes tembak Durian Tunggal


PETALING JAYA: Jabatan Peguam Negara memutuskan satu prosiding inkues dijalankan bagi menentukan punca insiden tembakan tiga lelaki oleh polis di Durian Tunggal, Melaka pada 24 November tahun lalu.

Keputusan itu dibuat berdasarkan penelitian terhadap kertas siasatan yang dikemukakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Jabatan Peguam Negara berkata, selepas mempertimbangkan keseluruhan keterangan dan dapatan siasatan, pihaknya memutuskan untuk mengadakan prosiding inkues di bawah Seksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593).

“Prosiding inkues ini bertujuan untuk menentukan punca dan sebab kematian serta meneliti fakta dan keadaan yang membawa kepada kematian tersebut termasuk mengenal pasti sama ada wujud atau tidak sebarang unsur jenayah berhubung kematian tiga individu akibat insiden tembakan di Durian Tunggal, Melaka pada 24 November 2025,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut jabatan itu, keputusan untuk mengadakan prosiding inkues itu mencerminkan komitmen pihaknya bagi memastikan segala fakta dan keadaan berkaitan diperiksa secara menyeluruh, telus dan bebas selaras dengan kehendak undang-undang.

Kata jabatan itu, pihaknya memandang serius setiap insiden yang melihatkan kehilangan nyawa.

“Jabatan ini kekal komited untuk memastikan setiap tindakan dan proses perundangan dilaksanakan dengan adil, profesional serta berlandaskan prinsip kedaulatan undang-undang,” katanya.

Dalam kejadian 24 November tahun lalu, tiga lelaki berusia antara 24 hingga 29 tahun ditembak mati selepas seorang daripada mereka didakwa menghayunkan parang ke arah seorang koperal polis di sebuah ladang kelapa sawit di Durian Tunggal, kira-kira jam 4 pagi.

Insiden itu menyebabkan anggota polis berusia awal 30-an, mengalami kecederaan serius pada lengan kiri. – UTUSAN 



Source link

OR

Scroll to Top