Rashford kembali berlatih bersama United selepas 19 bulan


Manchester: Marcus Rashford kembali menjalani latihan bersama Manchester United buat kali pertama dalam tempoh 19 bulan ketika pemain sayap England itu menyertai skuad kendalian Michael Carrick di Ireland.

Rashford, 28, kembali ke kelab yang menjadi tempat dia membesar sebagai pemain selepas menyertai skuad Carrick yang menjalani latihan di Maynooth, County Kildare.

Sesi latihan terbuka yang dirancang sebelum ini dibatalkan bagi mengelakkan perhatian berlebihan terhadap Rashford ketika dia mula menyesuaikan diri dengan rakan sepasukan.

Baru pulang daripada cuti selepas Piala Dunia, Rashford dijangka tidak beraksi pada aksi persahabatan menentang Leeds di Croke Park, esok.

Dia bagaimanapun dijangka bersedia untuk berdepan individu yang menyebabkan dia tersisih daripada United apabila kelab itu menamatkan aksi pramusim menentang AC Milan kendalian Ruben Amorim di Poland, Sabtu ini.

Kepulangan Rashford untuk beraksi semula bersama United sebelum ini sukar dibayangkan selepas dia dipinjamkan ke Barcelona musim panas lalu.

Namun, sumber yang rapat dengan situasi itu berkata pemain lulusan akademi Carrington berkenaan mahu kekal di Old Trafford dan berjuang merebut semula tempatnya.

Beberapa kelab pencabar United dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) menunjukkan minat terhadap Rashford, namun tiada tawaran konkrit dibuat ketika jendela perpindahan akan ditutup dalam tempoh tiga minggu.

Rashford difahamkan tidak berminat berpindah ke Turkiye, dengan Fenerbahce antara kelab yang memantau situasinya, atau Arab Saudi kerana dia masih mempunyai impian untuk beraksi di tahap tertinggi.

Rashford yang masih mempunyai baki kontrak dua tahun dengan gaji £325,000 seminggu (RM1.79 juta) kali terakhir menjalani latihan bersama United pada Januari 2025 sebelum dipinjamkan selama enam bulan ke Aston Villa.

Pemain antarabangsa England itu dilaporkan diberikan jersi nombor 14 selepas kembali ke kelab berkenaan.

Rashford sebelum ini pernah menyarung jersi nombor 39, 19 dan 10 di United sebelum beberapa kali dipinjamkan.

Nombor 10 kini menjadi milik Matheus Cunha yang menyertai Old Trafford musim panas lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top