Sukan SEA: Putera Sultan Pahang perkasa cabaran polo

Sukan SEA: Putera Sultan Pahang perkasa cabaran polo


Tengku Muhammad memperkuat cabaran negara di Sukan SEA yang berlangsung di Thailand bulan depan.

PUTERA Sultan Pahang, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah, bakal mengibarkan Jalur Gemilang di Sukan SEA 2025 apabila dipilih menganggotai skuad Equestrian polo negara pada edisi ke-33 di Thailand dari 9 hingga 20 Disember ini.

Penyertaan baginda bukan sahaja memperkukuh kekuatan pasukan, malah membawa nilai simbolik meneruskan legasi ayahanda baginda, Sultan Abdullah yang pernah meraih emas acara sama pada Sukan SEA 1983 di Singapura.

Kehadiran Tengku Muhammad turut mencerminkan kesinambungan tradisi yang terus mengangkat martabat polo negara, selain pengalaman luas baginda di pentas antarabangsa dijangka menyuntik dimensi taktikal ketika Malaysia beraksi di Samut Prakan.

Acara polo Sukan SEA kali ini berlangsung di VS Sports Club dan Siam Polo Park, dua venue bertaraf tinggi yang sering digunakan untuk kejohanan antarabangsa.

Pemilihan lokasi itu memberi peluang atlet negara, termasuk Tengku Muhammad beraksi dalam suasana kompetitif yang benar-benar menguji ketahanan taktikal dan keserasian pasukan.

Malaysia turut menurunkan barisan pemain berpengalaman yang menjadi tunjang cabaran negara.

Antara yang tersenarai ialah Muhammad Shahir Akmal Mohd Shah, Amran Selamat, Abdul Rashid Hasnan, Azhar Mustapha, Mohd Zulhelmi Nadzar, Muhammad Edham Haji Shaharuddin, Tengku Ahmad Shazril Ezzani dan Ikwan Hafiz Jamaludin.

Kombinasi pengalaman serta tenaga muda ini diyakini membantu skuad negara mencari rentak terbaik menjelang saingan sengit yang menghimpunkan pasukan handalan serantau.

Acara polo sebelum ini dipertandingkan dalam empat edisi iaitu Singapura 1983; Korat, Thailand 2007; Kuala Lumpur 2017 dan 2019 di Filipina.

Malaysia meraih emas dalam semua edisi berkenaan.

Ringkasan AI

  • PUTERA Sultan Pahang, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah, dipilih dalam skuad Equestrian polo negara untuk Sukan SEA 2025 di Thailand
  • Penyertaan baginda meneruskan legasi Sultan Abdullah yang meraih emas pada Sukan SEA 1983
  • Kehadiran Tengku Muhammad mencerminkan kesinambungan tradisi dan martabat polo negara di pentas antarabangsa
  • Acara polo berlangsung di VS Sports Club dan Siam Polo Park, venue bertaraf tinggi yang menguji ketahanan taktikal dan keserasian pasukan
  • Malaysia menurunkan barisan pemain berpengalaman dan tenaga muda yang berpotensi mencari rentak terbaik di saingan sengit serantau



Source link

OR

Scroll to Top