Malaysia memulakan kempen Sukan SEA Thailand 2025 langkah kiri apabila tewas kepada Vietnam dalam perlawanan Kumpulan B di Stadium TNSU, Chonburi. FOTO: Football Association of Malaysia
SKUAD bola sepak wanita negara memulakan kempen Sukan SEA 2025 dengan langkah kiri selepas dibelasah juara bertahan, Vietnam 0-7 pada aksi Kumpulan B di Stadium TNSU, Chonburi, malam ini.
Vietnam mendominasi permainan sebaik wisel dibunyikan dengan Pham Hai Yen menjaringkan gol seawal minit keempat diikuti Nguyen Thi Bich Thuy pada minit ke-23.
Hai Yen sekali lagi menemui sasaran pada minit ke-26 sebelum Tran Thi Hai Linh menambah jaringan buat Vietnam selang enam minit kemudian, sekali gus menyaksikan Malaysia ketinggalan 0-4 pada separuh masa pertama.
Aksi babak kedua menyaksikan Thai Thi Thao melengkapkan penguasaan pemenang emas edisi 2023 dengan jaringan hatrik pada minit ke-49, ke-59 dan ke-78, sekali gus memberikan permulaan sukar kepada Malayan Tigress dalam kempen Sukan SEA 2025.
Malayan Tigress yang tiba di Chonburi pada Rabu akan menentang Myanmar pada 8 Disember sebelum bertemu Filipina pada 11 Disember di venue sama.
Juara kumpulan serta naib juara akan mara ke separuh akhir pada 14 Disember manakala perlawanan akhir dan penentuan tempat ketiga dijadual berlangsung pada 17 Disember. – Bernama
Ringkasan AI
- SKUAD bola sepak wanita kebangsaan dibelasah Vietnam 0-7 dalam Sukan SEA 2025
- Vietnam mendominasi permainan dari awal dengan menjaringkan gol pada minit keempat
- Hai Yen dan Nguyen Thi Bich Thuy membantu Vietnam memimpin 0-4 pada separuh masa pertama
- Thai Thi Thao melengkapkan hatrik untuk Vietnam dalam babak kedua
- Malaysia akan menentang Myanmar dan Filipina dalam perlawanan seterusnya di Chonburi






