‘Ibu Kutu’ RM1 Juta Dihantar Ke Penjara, Mahkamah Tolak Ikat Jamin


Seorang peniaga wanita yang mengaku salah menganjurkan kumpulan wang kutu membabitkan 52 peserta dengan kerugian sekitar RM1 juta terpaksa menunggu prosiding dari dalam penjara selepas Mahkamah Sesyen di sini tidak membenarkannya diikat jamin.

Siti Zulaikha Ahmad Sabri, 36, dihantar ke Penjara Pokok Sena selepas membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sharmila Abdul Samad pada Rabu.

Memetik laporan Sinar Harian, mahkamah menetapkan 22 September ini bagi sebutan hukuman serta serahan fakta kes.

Mengikut pertuduhan, Siti Zulaikha yang beralamat di Kampung Padang Satu, Bukit Kayu Hitam, Changlun, Kubang Pasu didakwa menganjurkan kumpulan wang kutu tanpa kebenaran selama kira-kira setahun, bermula Julai 2025 hingga Julai lalu.

Skim berkenaan disertai 52 individu berusia antara 24 hingga 62 tahun dengan setiap peserta dikehendaki membuat bayaran tunai kepada kumpulan wang kutu tersebut.

Kesalahan itu didakwa dilakukan mengikut Seksyen 3 Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971 (Akta 28) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding sama, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fahmi Kamaluddin dan Vatchira Wong Rui Fern memohon supaya tertuduh dibenarkan jaminan RM100,000 dengan syarat pasportnya diserahkan kepada mahkamah.

Permohonan itu dibuat dengan mengambil kira nilai kerugian yang ditanggung mangsa dalam kes berkenaan yang dipercayai mencecah kira-kira RM1 juta.

Bagaimanapun, mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin, menyebabkan wanita itu dihantar ke Penjara Pokok Sena sementara menunggu prosiding seterusnya pada 22 September.

Dalam perkembangan berkaitan, Siti Zulaikha dan pasangannya disambung reman selama dua hari oleh Mahkamah Majistret Alor Setar bermula Rabu bagi membantu siasatan kes berkaitan yang membabitkan daerah Kota Setar.

Pasangan berkenaan sebelum ini dilaporkan hilang bersama anak mereka sejak 20 Julai sebelum menyerah diri dan direman selama empat hari bagi membantu siasatan polis berhubung kes penipuan berkaitan wang kutu.

Siasatan berkenaan bermula susulan laporan polis oleh seorang lelaki berusia 23 tahun yang mendakwa mengalami kerugian kira-kira RM25,000 selepas menyertai urusan wang kutu terbabit.






Source link

OR

Scroll to Top