norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Bekas pelakon juga balu Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin iaitu Datin Seri Zizie Ezette, 47, didapati sudah memadam semua gambarnya yang dimuatnaik dalam akaun Instagram (IG) miliknya.
Manakala di InstaStory pula, Zizie hanya memuatnaik video majlis tahlil malam ketiga arwah suaminya dengan kapsyen ringkas ditulis.
“Tahlil malam ketiga,” tulisnya berserta emoji hati berwarna putih.
Bagaimanapun, tidak diketahui kenapa Zizie secara tiba-tiba bertindak memadam semua hantaran gambarnya yang dimuatnaik dalam IG sebelum ini.
Zizie dan Allahyarham Bung Moktar mendirikan rumah tangga pada 2009 dan mereka dikurniakan empat cahaya mata.
Pada Jumaat lalu, Allahyarham Bung Moktar, 66, yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan meninggal dunia akibat kegagalan buah pinggang dan jangkitan kuman pada paru-paru di sebuah hospital di Kota Kinabalu, Sabah.
Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Likas, jam 2.10 petang, hari yang sama.
Semalam, Zizi berkongsi hantaran dimuatnaik di InstaStory mengenai kebaikan dilakukan arwah Bung Moktar serta meluahkan yang dia tidak akan lupa pada nasihat pernah dititipkan Allahyarham kepadanya.
Menurut Zizie, dia turut berterima kasih di atas segala kebaikan yang dicurahkan suaminya itu terhadap dirinya selama mereka hidup bersama yang akan terus dibawa dan dihargainya.
Zizie turut bersyukur walaupun suami kesayangan itu sudah tiada lagi di dunia, namun kebaikan dan pengorbanan pernah dilakukan Allahyarham ketika hidup masih menjadi bualan ramai hingga kini.
© New Straits Times Press (M) Bhd






