Bersatu mahu RoS gantung PN?


PETALING JAYA: Wujud harapan dalam kalangan pimpinan dan anggota Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang mahu Perikatan Nasional (PN) digantung oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Jika tindakan tegas itu diambil, parti-parti komponen dalam gabungan berkenaan juga tidak lagi boleh menggunakan lambang PN pada pilihan raya akan datang.

Situasi tersebut dilihat sebagai satu bentuk ‘keadilan’ buat Bersatu yang mendakwa semakin diketepikan dalam PN termasuk tidak dilibatkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi selain isu rundingan pembahagian kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan baru-baru ini.

Sehubungan itu, Bersatu dijangka akan mengemukakan beberapa perkara teknikal kepada RoS berhubung aduan mereka mereka sebelum ini mengenai PN.

Bekas Timbalan Pengerusi Tetap Bersatu, Datuk Hashim Suboh berkata, perkara teknikal itu antaranya merangkumi seperti tidak dilibatkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN, keputusan yang dibuat di luar mesyuarat selain berkaitan kenyataan pemimpin tertentu.

Katanya, jika PN digantung, parti-parti komponen seperti Pas, Parti Wawasan Negara (Wawasan) serta Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) bakal guna logo sendiri dalam menghadapi pilihan raya.

Beliau berkata, layanan tidak adil terhadap Bersatu serta seolah-olah dipinggirkan di dalam PN dilihat cukup ketara berbanding kelebihan diberikan kepada Wawasan.

“Saya jangka PN berkemungkinan besar digantung berdasarkan hal-hal teknikal yang bakal dikemukakan oleh Bersatu itu. Saya juga percaya, Bersatu akan merangkumkan banyak lagi kes berkaitan teknikal yang boleh menyebabkan penggantungan tersebut.

“Sekiranya PN digantung, semua parti ini akan menggunakan logo sendiri dan dijangka yang paling teruk terkesan sudah pastinya Parti Wawasan Negara (Wawasan). Wawasan dilihat hanya bergantung kepada kekuatan Pas melainkan Pas mengizinkan calon dari parti itu menggunakan lambang Pas,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

RoS dalam kenyataan kelmarin mengesahkan telah menerima aduan rasmi Bersatu antaranya dakwaan parti itu tidak dilibatkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai lalu.

Ini termasuk aduan berkaitan kedudukan keanggotaannya dalam gabungan berkenaan.

Menurut RoS, penelitian terhadap aduan yang dibangkitkan ini sedang dilaksanakan berdasarkan Akta Pertubuhan 1966 [Akta 832], Peraturan-Peraturan Pertubuhan 1984, perlembagaan pertubuhan yang diluluskan serta rekod rasmi Jabatan.

Sementara itu, ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Mohamad Hanifah Abu Baker berkata, sekiranya Bersatu dinafikan hak untuk menggunakan logo PN, parti lain juga perlu menerima nasib yang serupa.

Katanya, aduan yang dibuat kepada RoS adalah bagi mempertahankan hak parti itu.

HANIFAH ABU BAKER

“Bersatu merupakan pengasas PN. Tetapi sekarang hak kami dipertikai tidak diberi kebenaran untuk hadir mesyua­rat PN.

“Sebab itu aduan rasmi itu dibuat. Jadi, kalau kami tidak dapat guna logo PN, mereka pun tidak boleh guna juga,” katanya. – UTUSAN



Source link

OR

Scroll to Top