Riyadh: Arab Saudi menyatakan kesediaan untuk melakukan ‘apa sahaja yang termampu’ bagi membawa bintang Liverpool yang kini bergolak, Mohamed Salah, pada jendela perpindahan musim sejuk, kata sumber daripada Dana Pelaburan Awam (PIF) kepada AFP, semalam.
“Kami mengikuti rapat situasi Salah dan percaya perpindahan boleh berlaku sama ada secara pinjaman atau pembelian kontrak,” kata sumber itu yang enggan dikenali, merujuk kepada ketegangan antara pemain Mesir itu dengan Liverpool.
“Masih belum ada rundingan langsung dengan kelab ketika ini, tetapi langkah akan dibuat pada masa yang tepat.”
Menurut sumber PIF itu lagi, Arab Saudi mahu mendapatkan Salah pada Januari bagi menyertai deretan bintang besar lain yang beraksi di liga negara itu seperti Cristiano Ronaldo.
PIF memiliki 75 peratus pegangan dalam Al Hilal, Al Nassr, Al Ahli dan Al Ittihad, namun sumber itu mengesahkan mereka bukan satu-satunya pihak yang mahukan bintang Arab paling terkenal itu.
“Terdapat persaingan dalam liga Saudi untuk mendapatkan Salah,” katanya.
“Kelab milik Aramco, Al Qadsiah, turut menunjukkan minat. Jadi bukan hanya kelab yang bernaung dengan PIF.”
Ronaldo kini bersama Al Nassr, manakala rakan lama Salah di Liverpool, Darwin Nunez beraksi untuk Al Hilal.
© New Straits Times Press (M) Bhd






