am@hmetro.com.my
Tawau: Seorang bekas guru agama sebuah madrasah di sini, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini, atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang remaja lelaki berusia 15 tahun, April lalu.
Tertuduh, Muhammad Sabri Saidin, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya.
Mengikuti pertuduhan, lelaki itu didakwa menghantar mesej dan gambar yang mempunyai maksud seksual melalui aplikasi WhatsApp menggunakan telefon bimbit miliknya kepada remaja berkenaan.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah kampung di Jalan Sin San, dekat sini, antara jam 1.48 tengah hari sehingga jam 2.10 petang, pada 4 April lalu.
Atas kesalahan itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 15(e) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau didenda tidak melebihi dua puluh ribu ringgit atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Haikal Hazwan Md Yatin tidak menawarkan sebarang jaminan memandang kes itu tidak boleh diikat jamin.
Mahkamah menetapkan jaminan RM8,000 dengan dua penjamin tempatan serta syarat tambahan termasuk tertuduh dilarang menghubungi atau mengganggu saksi-saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Tertuduh juga dikehendaki melapor diri di balai polis berhampiran sekali dalam tempoh sebulan serta menyerahkan pasport antarabangsa kepada Mahkamah.
Kes disebut semula pada 26 Januari tahun hadapan untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.
© New Straits Times Press (M) Bhd






