syafil.syazwan@hmetro.com.my
Subang: Penyanyi dan pelakon, Erra Fazira kini sah bergelar isteri kepada pasangannya, Ezwan Zain dengan sekali lafaz dalam majlis akad nikah yang berlangsung di Rinjani Majestic, Subang, hari ini.
Pasangan Erra, 51, dan Ezwan, 44, dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Perkahwinan, Majlis Agama Islam Selangor, Mohd Sabirin Noordin dengan mas kahwin, ufti bunga emas seberat 102 gram.
Ufti bunga emas yang dijadikan mas kahwin adalah simbolik tradisi masyarakat Melayu abad ke-14, merangkumi 24 keping dinar emas.
Tidak membawa dulang hantaran, beberapa barangan berjenama diletakkan di atas talam dan dibawa dengan tandu sebagai simbolik majlis pada hari ini.
Antara barangan termasuklah sepersalinan emas, tas tangan, jam tangan, kasut dan pewangi mengisi talam hantaran itu.
Majlis akad nikah bertemakan perkahwinan dalam taman itu dihadiri 300 tetamu terdiri daripada keluarga kedua-dua belah pihak, sahabat-sahabat dan rakan media.
Terdahulu, Erra membuat pengumuman rasmi mengenai majlis perkahwinannya pada 2 Disember lalu, serentak dengan pelancaran video muzik lagu Cinta Abadi 2025.
Hubungan pasangan ini sebelum itu mula diperkatakan selepas Erra memuat naik ucapan romantis kepada Ezwan pada Januari lalu.
Untuk rekod, Erra pernah mendirikan rumah tangga dengan usahawan Engku Emran pada 25 Oktober 2007, sebelum disahkan berpisah pada 18 Februari 2014.
Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Engku Aleesya, 16 tahun.
Sebelum itu, Erra pernah berumah tangga dengan penyanyi Datuk Yusry Abdul Halim pada 2003, namun bercerai pada 2006.
© New Straits Times Press (M) Bhd






