Umrah ibadah, bukan bulan madu

Umrah ibadah, bukan bulan madu


TREND sesetengah pasangan pengantin baharu menjadikan umrah di Tanah Suci sebagai destinasi pertama selepas berkahwin tidak salah. Namun niat utama perjalanan itu mestilah untuk beribadah kepada Allah SWT, bukannya semata-mata berbulan madu.

Berkongsi pandangan kepada Mingguan Malaysia, seorang mutawif Ustaz Muhammad Hanif Abdul Rahim, 32, berkata, persoalan itu perlu dilihat dari sudut niat dan adab, bukannya sekadar lokasi perjalanan.

Katanya, para ulama berpandangan hukumnya harus sekiranya pasangan suami isteri ke Tanah Suci untuk memperbanyakkan ibadah, berdoa agar rumah tangga yang dibina diberkati Allah SWT serta mengeratkan hubungan sesama mereka.

“Menurut kaedah fiqh ‘al-umur bi maqasidiha’ (setiap perkara dinilai berdasarkan tujuannya), perjalanan umrah yang disertai niat utama untuk beribadah kepada Allah SWT tidak terjejas hanya kerana pasangan turut mengambil peluang mengeratkan hubungan suami isteri.

“Pandangan itu selari dengan huraian Imam al-Nawawi dan Imam Ibn Hajar al-’Asqalani bahawa amalan yang harus boleh menjadi ibadah apabila disertai niat yang ikhlas serta bertujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT,” jelasnya.

Ustaz Muhammad Hanif menjelaskan, Islam mengiktiraf hak suami isteri untuk bergembira dan meluangkan masa bersama.

Namun Mekah dan Madinah adalah tempat yang sepatutnya dimanfaatkan untuk memperbanyakkan solat, zikir, doa dan ibadah.

Katanya, walaupun tiada dalil khusus menyuruh atau melarang pasangan menjadikan umrah sempena perkahwinan kerana hukumnya adalah harus, tetapi nilai ibadah itu bergantung kepada niat dan cara ia dilaksanakan.

 

Muhammad Hanif Abdul Rahim
Umur: 32
Kelulusan: Syariah, Universiti Al Azhar Mesir
Ijazah Sarjana Muda Syariah Islamiah,Universiti Kebangsaan Malaysia.

“Yang lebih utama adalah memastikan ibadah umrah kekal menjadi fokus utama perjalanan, manakala unsur bulan madu hanyalah perkara yang mengiringinya, bukan matlamat asal,” katanya.

Mengulas lanjut kepentingan umrah, Ustaz Muhammad Hanif berkata, ibadah itu mempunyai kedudukan yang tinggi dalam Islam sebagai jalan mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Beliau berkata, pensyariatan umrah dijelaskan menerusi firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 196 yang bermaksud: “Dan sempurnakanlah ibadah haji dan umrah kerana Allah.

“Rasulullah SAW turut bersabda: “Umrah ke umrah adalah penghapus dosa antara kedua-duanya dan haji yang mabrur tidak ada balasan baginya melainkan syurga.” (Riwayat al-Bukhari, No. 1773).

UMRAH BERKALI-KALI

Ustaz Muhammad Hanif berkata, amalan itu diharuskan dan selari dengan galakan Islam supaya berlumba-lumba melakukan kebaikan sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 148 yang bermaksud:

Dan bagi tiap-tiap umat ada kiblat yang masing-masing menghadap kepadanya. Oleh itu, berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan. Di mana sahaja kamu berada, Allah akan menghimpunkan kamu semuanya (pada hari kiamat untuk menerima balasan). Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu.”

Beliau berkata, bagaimanapun niat mestilah ikhlas, bukan untuk menunjuk-nunjuk atau mempamerkan kemewahan.

“Pada masa sama, seseorang juga perlu melihat kepada keutamaan semasa seperti membantu ibu bapa, ahli keluarga, jiran yang memerlukan atau menyumbang kepada pembangunan umat Islam.

“Pandangan sebahagian ulama kontemporari seperti Yusuf al-Qaradawi turut menekankan konsep fiqh al-awlawiyyat iaitu keutamaan, yang mana membantu golongan yang benar-benar memerlukan boleh menjadi lebih utama daripada mengulangi umrah sunat.

“Ini tidak bermaksud umrah berulang itu salah, sebaliknya Islam menilai sesuatu ibadah berdasarkan keperluan dan maslahat semasa,” katanya.

MEDIA SOSIAL

Ustaz Muhammad Hanif berkata, tindakan menghasilkan kandungan media sosial ketika mengerjakan umrah dibimbangi boleh menjejaskan kekhusyukan ibadah sekiranya jemaah terlalu sibuk merakam video, mengambil gambar atau bersiaran langsung di platform media sosial.

“Ketika berada di hadapan Kaabah, sepatutnya masa dimanfaatkan dengan memperbanyakkan doa, zikir, solat dan ibadah, bukannya mengejar kandungan untuk tatapan pengikut media sosial.

“Bukan sahaja boleh menghilangkan kekhusyukan diri sendiri, malah mengganggu jemaah lain yang sedang beribadah,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, media sosial boleh dimanfaatkan secara positif untuk berkongsi panduan mengerjakan umrah, menyampaikan ilmu serta menggalakkan lebih ramai umat Islam mencintai ibadah.-UTUSAN



Source link

OR

Scroll to Top