Nasib malang kuartet 4x100m wanita negara

Nasib malang kuartet 4x100m wanita negara

Nasib malang kuartet 4x100m wanita negara


saifulaffendy@hmetro.com.my

Bangkok: Kuartet 4×100 meter (m) wanita negara terpaksa menarik diri pada final acara berkenaan di Sukan Sea Thailand, hari ini di Stadium Nasional Suphachalasai, selepas pelari berpengalaman negara, Zaidatul Husniah Zulkifli mengalami kecederaan hamstring.

Zaidatul mengalami kecederaan itu ketika beraksi dalam final acara pecut 100m wanita sebelum ini, yang menyaksikannya menamatkan perlumbaan di kedudukan ketujuh.

Lebih malang, pelari simpanan, Chelsea Cassiopea Evali Bopulas yang sepatutnya menggantikan Zaidatul, turut tidak dapat diturunkan selepas mengalami kecederaan sebelum turun beraksi dalam semua acaranya termasuk 400m.

Perkara itu disahkan oleh ketua jurulatih olahraga kebangsaan, Mohd Manshahar Abdul Jalil, yang mengakui situasi berkenaan menjejaskan perancangan pasukan pada saat akhir.

“Zaidatul mengalami kecederaan semasa acara 100m wanita dan walaupun kita sudah cuba sedaya upaya untuk memulihkannya.

“Kita buat keputusan saat akhir hari ini, Zaidatul yang dirawat ISN (Institut Sukan Negara) tidak cergas untuk diturunkan. Ketika pemanas badan dan dia (Zaidatul) masih belum baik 100 peratus. Sepatutnya, Chelsea mengisi kekosongan itu tetapi dia juga mengalami kecederaan sewaktu latihan.

“Jadi, Chelsea tidak menyertai semua acara di sini. Sebab itu, kita menarik diri acara 4x100m ini. Terlalu ramai yang cedera pada peringkat akhir. Ia memberi kesan besar kepada pasukan,” katanya.

Ketiadaan dua pelari itu menyebabkan Malaysia tidak mempunyai kuartet lengkap untuk diturunkan pada final acara berkenaan.

Kuartet tuan rumah memenangi acara 4x100m dengan catatan 43.88s yang juga rekod temasya, Vietnam meraih perak (43.91s) manakala gangsa milik Filipina (43.97s).

Untuk rekod, pada edisi Sukan Sea 2023 di Kemboja, kuartet 4x100m wanita negara berjaya meraih pingat gangsa selain mencipta rekod kebangsaan baharu dengan catatan 44.58 saat.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top