Kemudaratan dalam talian jarang berlaku kerana tiada amaran. Sebaliknya ia berlaku kerana amaran itu tidak disusuli tindakan yang tepat pada masanya.
Dalam ekosistem digital yang bergerak pantas, risiko selalunya hadir lebih awal daripada tindakan.
Bagi isu serius seperti bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM) dan penipuan kewangan, jurang masa inilah yang menjadi penentu sama ada kemudaratan dapat dibendung atau terus berulang.
Faktor masa bukan sekadar isu teknikal tetapi penentu tahap keselamatan sebenar. Apabila kandungan berbahaya dibiarkan beredar walaupun untuk tempoh singkat, kesannya bukan sahaja melibatkan skala penyebaran, malah impak emosi dan psikologi terhadap mangsa.
Perunding keselamatan dan pertahanan diri, Saiful Hamiruzzaman Mohd Hazir berkata, kepantasan bertindak memainkan peranan kritikal dalam mengehadkan kemudaratan.
“Tindakan pantas atau lambat dalam menangani CSAM dan penipuan kewangan memberi impak besar terhadap sejauh mana kandungan berbahaya itu boleh tersebar dan mencederakan mangsa dari aspek penderaan emosi dan psikologi,” tegasnya.
Beliau yang juga Exco Pertubuhan Pengamal Pencegahan Jenayah Kuala Lumpur (KLCPPA) menjelaskan, tindakan awal mampu menyelamatkan mangsa dengan mengehadkan pendedahan sejak peringkat awal.
“Sekiranya platform bertindak segera, kandungan kurang berpeluang tersebar ke rangkaian lebih luas atau dikenalpasti oleh ramai pengguna,” katanya.

Sebaliknya, kelewatan membuka ruang kepada edaran berulang yang semakin sukar dikawal.
“Ini memberi ruang kepada sharing, resharing dan mirroring kandungan berulang kali, menjadikan tindakan pantas semakin sukar apabila sudah tersebar luas di pelbagai platform,” kata Saiful Hamiruzzaman.
Corak yang sama turut dapat dilihat dalam penipuan kewangan. Modus operandi seperti pancingan data, skim pelaburan palsu dan iklan mengelirukan bergantung kepada kelajuan serta capaian platform untuk mencari mangsa dalam tempoh singkat.
Dalam konteks ini, Saiful Hamiruzzaman menegaskan bahawa tindakan pantas terhadap infrastruktur penipuan boleh mengurangkan kerugian dengan ketara.
Katanya, bagi penipuan kewangan pula, tindakan pantas untuk memutuskan pautan pishing, memadam iklan palsu dan membekukan akaun scam dapat mengurangkan jumlah mangsa dan jumlah kerugian.
Namun, isu kelajuan tidak boleh dipisahkan daripada cabaran penguatkuasaan. Pelaku lazimnya tidak menggunakan identiti sebenar dan sering memanfaatkan kelemahan sistem rentas sempadan.
“Pelaku jarang menggunakan identiti sebenar…Keadaan ini menyebabkan pengesanan dan pengesahan identiti sebenar pelaku mengambil masa yang panjang, sekali gus melambatkan tindakan penguatkuasaan,” katanya.
Keadaan ini menjelaskan mengapa kandungan berbahaya boleh muncul semula walaupun telah diturunkan sebelum ini. Ia bukan sekadar isu memadam kandungan, tetapi melibatkan penyimpanan semula, edaran pihak ketiga, penggunaan VPN serta platform yang beroperasi di luar Malaysia.

Dalam menilai pendekatan keselamatan, perbezaan antara tindakan reaktif dan pencegahan awal menjadi semakin ketara. Pendekatan reaktif hanya bertindak selepas laporan dibuat, ketika kemudaratan sudah pun berlaku.
Manakala pencegahan awal pula bertujuan mengehadkan pendedahan sejak awal, sebelum kesan menjadi lebih parah.
Saiful Hamiruzzaman membezakan kedua-dua pendekatan ini dengan jelas.
“Pendekatan reaktif menangani masalah selepas ia berlaku, manakala pencegahan awal mengurangkan risiko dan impak terhadap mangsa,” jelasnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa kesan terhadap mangsa tidak boleh dipandang ringan.
Mangsa yang terkesan boleh bertindak di luar jangkaan malah ada juga yang bertindak sehingga membunuh diri disebabkan tekanan perasaan, katanya.
Dalam konteks akauntabiliti, Saiful Hamiruzzaman berpandangan bahawa tanggungjawab platform tidak wajar diukur berdasarkan jumlah kandungan yang dipadam semata-mata.
Ukuran yang lebih bermakna ialah masa tindak balas sebaik sahaja risiko dikenal pasti.
Pendekatan ini selari dengan hala tuju Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) yang mengalihkan fokus daripada pengurusan kemudaratan selepas kejadian kepada pencegahan awal dan tindakan proaktif.
ONSA menetapkan kewajipan kepada platform untuk mengesan dan menyekat kandungan berbahaya tanpa menunggu laporan, selain memperkenalkan kawalan umur serta penguatkuasaan yang lebih konsisten bagi memastikan standard keselamatan dipatuhi.
Namun, keselamatan dalam talian tidak boleh disandarkan kepada undang-undang dan teknologi semata-mata. Kerjasama antara kerajaan, platform, organisasi antarabangsa dan pengguna kekal sebagai elemen penting dalam membina perlindungan jangka panjang.
Justeru dalam dunia yang sentiasa bergerak ke hadapan, ukuran sebenar keselamatan bukanlah apa yang berjaya diperbetulkan, tetapi apa yang tidak perlu diperbetulkan kerana ia telah dicegah lebih awal.






