Wayang Kulit, Permainan & Seni Interaktif… ‘Bayangkanlah KL’ Tarikan Terbaharu Kanak-Kanak di Muzium Sains, Seni & Inovasi Kanak-Kanak!

Wayang Kulit, Permainan & Seni Interaktif… ‘Bayangkanlah KL’ Tarikan Terbaharu Kanak-Kanak di Muzium Sains, Seni & Inovasi Kanak-Kanak!

Wayang Kulit, Permainan & Seni Interaktif… ‘Bayangkanlah KL’ Tarikan Terbaharu Kanak-Kanak di Muzium Sains, Seni & Inovasi Kanak-Kanak!


Muzium Sains, Seni dan Inovasi Kanak-Kanak (MoSAIC) rasmi melancarkan pameran terbaharu bertajuk Bayangkanlah KL dalam sebuah majlis meriah yang menghimpunkan keluarga, rakan kerjasama serta pihak media di tengah-tengah ibu kota, baru-baru ini.

Program berkonsepkan imaginasi, warisan dan kreativiti kanak-kanak ini memberi peluang kepada generasi muda mengenali Kuala Lumpur melalui pengalaman interaktif dan menyeronokkan.

Antara tumpuan utama majlis pelancaran ialah persembahan wayang kulit secara langsung oleh kanak-kanak berbakat daripada BaiZAM Generation ASWARA, yang berjaya memukau para penonton cilik serta memperkenalkan seni tradisi itu dengan pendekatan lebih mesra dan dekat dengan dunia kanak-kanak.

Antara yang memeriahkan majlis pembukaan pameran Bayangkanlah KL di Muzium Sains, Seni dan Inovasi Kanak-Kanak (MoSAIC) ialah pelukis cat air Novia Shin; artis dan pendidik, Cikgu Huda; wakil ArtsFAS di bawah naungan Yayasan Hasanah, Momoko Sum; Pengasas MoSAIC, Fiza Zin; Pengasas Bersama MoSAIC, Karimah Koh; penggiat seni, Maisyarah Mazlan serta Pengarah KreAsia, Quah Jit Shien, yang turut hadir bersama kumpulan wayang kulit cilik BaiZam Generation.

Tetamu turut dibawa menyertai sesi lawatan berpandu ke pameran yang menampilkan pelbagai aktiviti imersif, termasuk mural bercahaya dalam gelap, aktiviti lakon peranan berinspirasikan kopitiam, selain bengkel pembuatan patung berkonsepkan Tok Dalang yang memberi peluang kepada kanak-kanak mencipta serta ‘menghidupkan’ watak wayang kulit mereka sendiri.

Majlis turut memperkenalkan maskot rasmi MoSAIC, Piji, seekor burung merpati yang segera menjadi tarikan kanak-kanak dan menambahkan suasana ceria sepanjang program berlangsung.

MoSAIC merupakan hab budaya berpusatkan kanak-kanak yang memberi tumpuan kepada pembangunan kreativiti melalui pembelajaran berasaskan permainan.

Berpandukan kerangka SCALE-IT© (Sains, Budaya, Seni, Literasi, Keusahawanan, Inovasi dan Teknologi), MoSAIC menyediakan ruang inklusif untuk kanak-kanak belajar, berimaginasi dan berkembang.

Dengan visi membentuk bandar yang lebih kreatif, mesra kanak-kanak dan inklusif, MoSAIC bukan sekadar muzium, tetapi satu gerakan membudayakan pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan dan bermakna.

Pameran Bayangkanlah KL direalisasikan dengan sokongan ArtsFAS di bawah Yayasan Hasanah, manakala ASWARA tampil sebagai Rakan Pendidikan dan Kandungan, membantu dari segi kepakaran seni persembahan, penceritaan wayang kulit serta pembangunan kandungan berteraskan warisan yang sesuai untuk kanak-kanak.

Kolaborasi bersama KreAsia serta penyertaan artis muda dan sukarelawan turut memperkayakan pameran dengan penghasilan mural komuniti yang menjadi sebahagian daripada pengalaman interaktif tersebut.

Berlangsung selama empat bulan, pameran ini akan diteruskan dengan pelbagai siri bengkel, persembahan langsung dan sesi penceritaan, memberi peluang kepada keluarga untuk kembali menikmati serta mendalami kepelbagaian warisan, identiti dan kreativiti bandar Kuala Lumpur yang sentiasa berkembang.



Source link

OR

Scroll to Top