DALAM usaha meneruskan pemerkasaan pendidikan awal kanak-kanak berteraskan nilai Islam, Keedsflix melancarkan ibu pejabat baharu di Puncak Alam, Selangor pada Sabtu, sekali gus meraikan pencapaian membuka lebih 300 cawangan di seluruh negara.
Pengasas Keedsflix, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor berkata, dengan pelancaran ibu pejabat Keedsflix baharu tersebut, pihaknya akan terus meningkatkan kualiti perkhidmatan dengan memperkenalkan inisiatif baharu.
“Antaranya pemerkasaan Modul Keeds Mandarin yang dikuatkuasakan sepenuhnya mulai 1 Januari 2026 di semua cawangan.
“Modul ini memperkenalkan asas bahasa Mandarin kepada kanak-kanak prasekolah melalui guru Melayu terlatih yang menjalani latihan intensif selama tiga bulan bagi memastikan kualiti dan kesesuaian dengan nilai Islamik,” katanya.
KEEDSFLIX memperkenalkan empat inisiatif baharu dalam pendidikan awal kanak-kanaknya termasuk Keeds Mandarin.
Tambah beliau, pada majlis sama, pihaknya turut merasmikan Portal Digital e-KQA (Keedsflix Quranic Academy) yang menyediakan kandungan video pembelajaran al-Quran berasaskan Modul Keeds Quranic.
“Pendekatan sistematik dan menyeronokkan ini membolehkan kanak-kanak menghabiskan bacaan al-Quran seawal usia lima hingga enam tahun, selari dengan tahap perkembangan mereka.
“Keedsflix juga melancarkan Siri Animasi Pendidikan Keedsflix yang menampilkan watak Islamik Aisyah dan Noah, sebagai solusi ‘screen time’ bermanfaat dengan kandungan berunsur pendidikan, adab dan pembentukan akhlak,” katanya.
Ujar angkasawan pertama negara itu, pihaknya turut mengumumkan projek usahasama bersama Universiti Sains Malaysia dan SmartSens.Q bagi membangunkan modul pembelajaran al-Quran khusus untuk kanak-kanak Autism Spectrum Disorder (ASD) melalui pendekatan multisensori, sekali gus membuka dimensi baharu pendidikan awal Islamik.
Menurut Sheikh Muszaphar, pelancaran ibu pejabat baharu dan pencapaian lebih 300 cawangan merupakan bukti pertumbuhan jenama Keedsflix yang telah melahirkan 8,550 pelajar, 810 tenaga pengajar dan kira-kira 300 usahawan yang menyumbang dalam pertumbuhannya.
“Semua kejayaan ini tidak akan tercapai tanpa sokongan rakan strategik, Keedspreneur, guru-guru dan komuniti ibu bapa di seluruh negara,” katanya.

SHEIKH MUSZAPHAR menurunkan tanda tangan pada majlis perasmian ibu pejabat Keedsflix di Puncak Alam, Selangor baru-baru ini.
Jelasnya, dengan sokongan lebih 5,000 keluarga Muslim dan hampir 10,000 peluang pekerjaan, Keedsflix kini berada pada landasan tepat untuk mencapai sasaran 1,000 cawangan dalam masa terdekat.
Majlis perasmian disempurnakan Ketua Pejabat Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud dan turut dihadiri tokoh pembangunan wanita dan pendidikan, Datuk Seri Dr Zurainah Musa.
Ringkasan AI
- Keedsflix melancarkan ibu pejabat baharu di Puncak Alam, Selangor Pengasas Keedsflix, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor memperkenalkan inisiatif baharu seperti Modul Keeds Mandarin yang akan dilaksanakan di semua cawangan mulai 1 Januari 2026 Portal Digital e-KQA (Keedsflix Quranic Academy) dirasmikan untuk menyediakan video pembelajaran al-Quran Keedsflix memperkenalkan Siri Animasi Pendidikan dengan watak Islamik untuk memberi manfaat waktu layar kepada kanak-kanak Keedsflix memiliki lebih 300 cawangan dengan pertumbuhan yang menunjukkan adanya 8,550 pelajar, 810 tenaga pengajar, dan kira-kira 300 usahawan





