Buah tasbih secantik manik

Buah tasbih secantik manik

Buah tasbih secantik manik


asmaini@mediaprima.com.my

BUAH Dalai atau lebih dikenali dengan nama buah tasbih atau jelai (‘Coix lachryma jobi’) adalah buah keras yang berbentuk bulat dan berlubang seperti manik.

Ia daripada tanaman spesies tumbuhan berbunga dalam keluarga ‘Cannaceae’ yang tumbuh meliar.

Namun, tidak ramai yang tahu buah dalai sebenarnya boleh diproses untuk dijadikan pelbagai rekaan aksesori perhiasan wanita menarik, secantik manik biasa.

Keunikan itu mendorong Jusnah Jinos, 46, untuk menghasilkan pelbagai produk dan aksesori kraftangan daripada buah dalai sebagai pilihan fesyen yang lebih lestari.

Jusnah bagaimanapun tidak keseorangan kerana dia turut dibantu 30 wanita Kampung Bitoon, Ranau, Sabah untuk memperkenalkan lagi keunikan ‘buah permata rimba’ itu ke peringkat lebih tinggi.

Menurut Jusnah, idea untuk menghasilkan pelbagai rekaan aksesori perhiasan dan kraftangan daripada buah dalai bermula apabila dia melihat tanaman itu tumbuh meliar di kawasan kampung berkenaan.

“Melihat kepada keunikan dan potensi buah dalai, timbul idea untuk menjadikan ia sebagai produk kraftangan dan aksesori perhiasan yang lebih lestari untuk wanita.

“Ini kerana, kedudukan Kampung Bitoon terletak jauh di kawasan pedalaman dan ekonomi penduduknya agak terhad.

“Justeru, dengan penghasilan produk kraftangan daripada buah dalai, ia sedikit sebanyak diharapkan dapat membantu ekonomi penduduk setempat,” katanya.

Sejak diusahakan setahun lalu menerusi label ‘Dalai Beads Ranau’, pelbagai rekaan aksesori kraftangan menarik diperkenalkan Jusnah ke pasaran luar dari Sabah dengan kerjasama Kraftangan Malaysia.

Antaranya gelang dan rantai tangan, rantai leher dan banyak lagi aksesori hiasan moden serta tradisional.

Dalam pada itu, Jusnah berkata, spesies tanaman itu memiliki pelbagai bentuk dan warna berbeza antara kelabu, putih serta hitam.

Bagi memastikan kualitinya tahan lebih lama, buah dalai bagaimanapun perlu melalui beberapa proses terlebih dahulu sebelum ia boleh dijadikan aksesori perhiasan.

Kata Jusnah, buah dalai yang sudah matang akan dipetik dan dipilih dengan teliti sebelum direbus terlebih dahulu dengan sedikit campuran garam.

Katanya, proses merebus itu penting bagi memastikan ulat di dalam buah mati sepenuhnya.

“Selepas itu, ia perlu dikeringkan dan kemudian barulah ia boleh digunakan untuk membuat aksesori dan perhiasan kraftangan lain.

“Proses menghasilkan kraftangan tradisional ini mengambil masa sehingga lima hari bergantung kepada saiz dan rekaan yang ditempah pelanggan,” katanya.

Sementara itu, inisiatif Jusnah untuk merancakkan aktiviti ekonomi di peringkat komuniti bagi meningkatkan lagi pendapatan penduduk setempat turut membolehkannya menerima dana RM50,000 menerusi geran Sejati Madani daripada kerajaan.

Kata Jusnah, dana itu digunakan untuk membeli benih dan peralatan berkaitan bagi memperluaskan lagi kawasan tanaman pokok dalai di kampung berkenaan.

“Kami kini mula menanam pokok dalai untuk memastikan bekalan buahnya mencukupi bagi menampung permintaan pasaran.

“Daripada tidak dikenali, siapa sangka, tumbuhan meliar itu kini membantu menjana pendapatan penduduk kampung,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top