Ronaldo meletakkan sasaran meledak 1,000 gol peribadi sebelum bersara. – Foto: Agensi
CRISTIANO Ronaldo menyatakan kariernya masih belum sampai ke penghujung selagi sasaran peribadi 1,000 gol belum dicapai.
Kapten Portugal berusia 40 tahun itu kini mengumpul 956 gol untuk kelab dan negara selepas meledak dua gol ketika membantu Al-Nassr menewaskan Al Akhdoud 3-0 dalam aksi Liga Pro Saudi, Sabtu lalu.
“Semua orang tahu sasaran saya. Selagi belum 1,000 gol, jangan harap saya gantung but,” kata Ronaldo selepas dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Timur Tengah pada Anugerah Globe Soccer di Dubai.
Walaupun mengakui cabaran untuk terus bersaing semakin besar pada usia lanjut, Ronaldo berkata semangat dan keghairahannya terhadap bola sepak masih kekal tinggi.
Pemain yang menyertai Al-Nassr pada 2022 itu turut menandatangani kontrak baharu selama dua tahun pada Julai lalu, membolehkannya terus beraksi sehingga melepasi usia 42 tahun.
Musim ini, Ronaldo sudah menjaringkan 13 gol dalam 14 penampilan, sekali gus membantu Al-Nassr mengungguli carta Liga Pro Saudi dengan kelebihan empat mata.
Namun, di sebalik rekod jaringan peribadi yang mengagumkan, Al-Nassr hanya memenangi satu kejuaraan sejak kehadirannya iaitu Piala Juara Kelab Arab pada 2023.
Ronaldo kekal sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman Portugal dan Real Madrid, selain satu-satunya pemain yang menjaringkan lebih 100 gol bersama empat kelab berbeza.
Beliau sebelum ini mengesahkan Piala Dunia 2026 bakal menjadi kejohanan antarabangsa terakhirnya, tetapi selagi angka 1,000 belum dicapai, Ronaldo masih belum bersedia untuk mengucapkan selamat tinggal kepada dunia bola sepak.
Ringkasan AI
- CRISTIANO Ronaldo bercita-cita mencapai 1,000 gol sebelum bersara
- Telah menjaringkan 956 gol untuk kelab dan negara
- Kini bermain untuk Al-Nassr dan telah menandatangani kontrak baru selama dua tahun
- Sudah menjaringkan 13 gol dalam 14 penampilan musim ini membantu Al-Nassr mengungguli carta Liga Pro Saudi
- Ronaldo masih belum bersedia untuk bersara selagi belum mencapai sasaran 1,000 gol






