MAHA 2026 Sasar RM8 Bilion Potensi Pelaburan Dan Perdagangan


Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 menyasarkan potensi pelaburan dan perdagangan mencecah RM8 bilion, sekali gus meletakkan penganjuran kali ini bukan sekadar pameran pertanian, tetapi platform besar menjana peluang ekonomi dan pasaran bagi sektor agromakanan negara.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, selain sasaran berkenaan, MAHA 2026 turut memberi tumpuan kepada jualan langsung, penyertaan pempamer serta penglibatan golongan muda.

“MAHA 2026 juga merupakan platform yang besar dari segi ekonomi. Kita menyasarkan sekitar 4 juta pengunjung dan 2,000 pempamer, selain sasaran RM58 juta jualan langsung serta RM8 bilion potensi pelaburan dan perdagangan.

“Kita juga mahu sekitar 800,000 belia mendapat pendedahan dan manfaat daripada MAHA kali ini,” katanya sewaktu Media Tour MAHA 2026 di MAEPS, Serdang.

MAHA 2026 yang berlangsung dari 28 Ogos hingga 6 September membawa tema “Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan”, dengan tumpuan bukan sahaja kepada pengeluaran makanan tetapi turut merangkumi teknologi, inovasi, nilai tambah, keusahawanan, pelaburan dan peluasan pasaran.

Dimensi antarabangsa MAHA kali ini turut diperkukuh menerusi MAHA Go Global yang melibatkan penyertaan dari 14 negara, selain membawa masuk 40 pembeli antarabangsa terdiri daripada pemborong, pengedar dan peruncit.

Mohamad berkata, kehadiran pembeli antarabangsa itu diharap dapat membuka laluan kepada usahawan tempatan, khususnya mereka yang mempunyai produk berpotensi untuk dieksport, bagi membina jaringan dan menembusi pasaran lebih luas.

“Bagi usahawan dan pemain industri, kita mahu peluang yang tercipta di MAHA dapat diteruskan selepas acara ini berakhir. Menerusi MAHA Go Global, kita menerima penyertaan dari 14 negara luar dan membawa masuk 40 international buyers.

“Ini membuka ruang untuk usahawan tempatan membina jaringan serta meneroka pasaran antarabangsa,” katanya.

Datuk Seri Mohamad Sabu berpuas hati dengan persiapan MAHA 2026

Dalam masa sama, beliau mahu MAHA mengubah persepsi bahawa sektor agromakanan hanya berkisar kepada pertanian secara tradisional apabila perkembangan teknologi, automasi, pertanian pintar dan inovasi kini membuka peluang baharu dalam industri berkenaan.

Selain menjadi platform perniagaan dan industri, MAHA 2026 menawarkan pelbagai tarikan kepada orang ramai termasuk International Country Pavilion, Exporter’s Club, Agrotech, Agro Masterclass & Competition, Pameran Mekanisasi, Kingdom of Agrofood, Food Truck Fiesta, Pavilion Negeri dan Kiddies Wonderland.

Pengunjung turut boleh menerokai Laman Agrofood melibatkan sektor florikultur, sayur-sayuran, herba, kelulut, veterinar, perikanan, padi, nanas dan pertanian pintar, selain Floating Market, Sukan Rakyat, Rewang Warisan, Rhythm of the Farmers (ROTF) serta pertunjukan cahaya, laser dan dron pada waktu malam.

Mohamad berkata, berdasarkan tinjauannya, tahap persiapan keseluruhan MAHA 2026 kini mencapai kira-kira 80 peratus, dengan baki persiapan sedang diperhalusi menjelang pembukaan kepada orang ramai.

“Tahap persiapan kini telah mencapai sekitar 80 peratus, dan kita sedang memperkemas baki persiapan bagi memastikan semuanya benar-benar bersedia apabila MAHA dibuka kepada orang ramai,” katanya.

Penganjuran kali ini turut bertepatan dengan sambutan Hari Kebangsaan apabila Ambang Merdeka akan diadakan di MAHA, manakala sektor agromakanan akan mengambil bahagian dalam Perarakan Sambutan Hari Kebangsaan Malaysia 2026 menerusi kira-kira 100 peserta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), kereta berhias serta jentera pertanian terkini.

MAHA 2026 dibuka secara percuma kepada orang ramai di MAEPS, Serdang dari 28 Ogos hingga 6 September ini, bermula jam 10 pagi hingga 10 malam.

KREDIT GAMBAR: JABATAN PERKHIDMATAN VETERINAR






Source link

OR

Scroll to Top