Pengacara dan pelakon, Uyaina Arshad menyentuh hati ramai apabila berkongsi kisah pengorbanan ibunya yang sanggup bersusah-payah demi memastikan anak-anak mendapat pendidikan terbaik.
Menerusi hantaran di Instagram (IG) miliknya, Uyaina mendedahkan ibunya banyak berkorban sejak kecil, termasuk bergolok-gadai demi menyekolahkan dia dan adik-beradik hingga ke menara gading.
“Waktu kecil dulu, Ummi banyak bergolok-gadai, bersusah-payah nak sekolahkan kami adik-beradik ke menara gading. Kami keluarga biasa-biasa, apa adanya saja, tapi serba cukup, Alhamdulillah,” tulisnya.
Sebagai tanda penghargaan atas pengorbanan itu, Uyaina berkata dia menjadikan pemberian emas sebagai hadiah tahunan buat ibunya sejak mula bekerja.
“Bila saya dah mula kerja, setiap tahun saya akan cuba hadiahkan emas untuk Ummi saya. Doakan saya dimewahkan rezeki supaya saya dapat teruskan tradisi ini untuk tahun-tahun yang mendatang,” katanya.
Dalam masa sama, Uyaina turut menitipkan pesanan kepada orang ramai agar tidak berkira untuk menggembirakan ibu bapa selagi berkemampuan.
“Untuk anak-anak, mana yang berkemampuan dan ada rezeki lebih, tanyalah ibu ayah kita apa yang mereka suka dan hadiahkanlah mereka dengan hadiah kebahagiaan. Kerana doa mereka yang kita perlukan dalam hidup,” ujarnya.
Uyaina percaya keberkatan hidup dan kelapangan rezeki banyak bergantung kepada reda serta doa ibu bapa.
“Insya-Allah rezeki kita akan terbentang luas seluas langit biru Tuhan. Hidup akan lebih berkat dan urusan harian akan lebih dipermudah,” tulisnya.






