Bhopal, Madhya Pradesh: Seekor wanita maut selepas diserang seekor harimau ketika sedang tidur di dalam pondoknya di sebuah kampung di negeri Madhya Pradesh, India, lapor The Statesman.
Kejadian berlaku di Kampung Parrapur Baigatola dalam kawasan Khapa di Taman Negara Kanha kira-kira jam 1.30 pagi semalam.
Pegawai Jabatan Perhutanan mengenal pasti mangsa sebagai Sugni Bai Dhurve.
Sebaik terdengar jeritan daripada keluarga mangsa, penduduk kampung bergegas ke lokasi kejadian sambil membawa obor untuk membantu.
Menurut penduduk, harimau berkenaan dipercayai menarik mangsa sejauh kira-kira 300 meter sebelum melepaskannya dan melarikan diri ke dalam hutan selepas terkejut dengan kehadiran orang ramai.
Penolong Pengarah Zon Penampan Sijhora, Ashish Pandey berkata, penduduk kampung memaklumkan mangsa sedang tidur di dalam pondoknya apabila harimau itu dipercayai memasuki kawasan kampung kira-kira jam 1.30 pagi.
Katanya, haiwan liar itu kemudian menerkam bahagian kepala mangsa sebelum menariknya keluar dari pondok.
Mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala dibawa ke Hospital Baihar namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.
Polis sudah mengambil mayat mangsa dan mendaftarkan kes berkenaan sebagai kematian mengejut manakala siasatan lanjut masih dijalankan.
Pegawai Jabatan Perhutanan berkata, laporan terperinci berhubung kejadian itu sudah diminta manakala keluarga mangsa akan menerima bantuan kewangan mengikut peruntukan yang ditetapkan kerajaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd






