Baxtech Resources perkasa anak tempatan sektor minyak dan gas

Baxtech Resources perkasa anak tempatan sektor minyak dan gas

Baxtech Resources perkasa anak tempatan sektor minyak dan gas


Dungun: Kehadiran PETRONAS di Terengganu sejak 1983, khususnya di daerah Dungun dan Kemaman, bukan sahaja mengubah landskap industri minyak dan gas negeri itu, malah membuka peluang besar kepada syarikat tempatan seperti Baxtech Resources Sdn Bhd (“Baxtech Resources”) untuk berkembang sebagai salah satu pemain utama sektor berkenaan.

Syarikat yang ditubuhkan pada tahun 1999 itu kini muncul antara kontraktor tempatan berdaya saing tinggi, dengan lebih 149 kakitangan tetap serta anggaran 400 tenaga kerja darat dan luar pesisir, hasil pembangunan berterusan dalam kemahiran teknikal, keselamatan dan kualiti kerja.

Pengarah Urusannya, Azizi Mat Ali, berkata Baxtech Resources bermula dengan hanya kurang 10 kakitangan sebelum mengorak langkah menjadi antara peneraju utama dalam aktiviti penyelenggaraan, pembinaan dan fabrikasi di sektor minyak dan gas di pantai timur, khususnya Terengganu.

“Pada awal tahun 2000, jumlah syarikat tempatan berkemahiran tinggi di Dungun dan Kemaman masih terhad. Melihat kekosongan itu, kami nekad membangunkan keupayaan sendiri, dari kemahiran teknikal, pematuhan keselamatan hingga kualiti kerja,” katanya.

Beliau berkata, kerja keras itu membuahkan hasil apabila Baxtech Resources berjaya membina reputasi kukuh sebagai salah sebuah syarikat kontraktor tempatan yang berdaya saing, seterusnya menjadi antara peneraju awal dalam menyokong aktiviti penyelenggaraan, pembinaan kecil, serta fabrikasi di sektor minyak dan gas di kawasan pantai timur, terutamanya Terengganu.

Katanya, pada tahun 2013, Baxtech Resources mula meluaskan pembabitan ke sektor luar pesisir, juga sebagai sub kontraktor, bagi memperkukuh pengalaman dan keupayaan dalam persekitaran operasi yang lebih mencabar.

Dari situ Baxtech Resources berkembang secara berperingkat, baik dari segi tenaga kerja mahir, kemahiran teknikal, mahupun keupayaan pengurusan projek merentasi kawasan operasi di perairan Terengganu, Sabah dan Sarawak.

Kakitangan Baxtech Resources melakukan proses pemuatan peralatan bagi penghantaran luar pesisir di Teluk Kalong, Kemaman.

Kontraktor utama

Menjelang tahun 2023, Baxtech Resources mencapai kejayaan penting apabila dianugerahkan kontrak pertama mereka sebagai kontraktor utama bersama PETRONAS Carigali Sdn Bhd (PCSB) untuk tempoh tiga tahun, melibatkan kerja-kerja penyelenggaraan, pembinaan dan pengubahsuaian luar pesisir di kawasan operasi PM9.

Selain itu, pada Julai 2024, Baxtech Resources turut dilantik sebagai kontraktor utama bagi kontrak Living Quarters Maintenance and Repair Services bersama EPOMS untuk tempoh tiga tahun, merangkumi operasi di seluruh Semenanjung Malaysia.

“Pencapaian ini diikuti dengan kejayaan yang lebih besar pada Disember 2024, apabila Baxtech berjaya memperoleh kontrak terbesar setakat ini, iaitu bagi penyediaan perkhidmatan penyelenggaraan, pembinaan dan pengubahsuaian luar pesisir Pan-Malaysia bersama PETRONAS Carigali Sdn Bhd untuk tempoh lima tahun, dengan opsyen lanjutan selama tiga tahun dan dua tahun,” katanya.

Pada tahun yang sama, syarikat ini turut memenangi kontrak yang melibatkan fabrikasi kecil, pembinaan kemudahan, penyelenggaraan dan penambahbaikan bersama EPOMS selama dua tahun, dengan opsyen lanjutan selama tiga tahun.

Kejayaan demi kejayaan dalam memperoleh kontrak jangka panjang ini membuka ruang untuk Baxtech Resources berkembang ke tahap yang lebih tinggi bukan sahaja dari segi skala operasi dan kapasiti organisasi, tetapi juga dari segi sumbangan kepada industri dan komuniti tempatan.

“Langkah ini menjadi penanda aras baharu bagi kemampuan syarikat tempatan untuk bersaing dengan syarikat besar dalam dan luar negara, serta membuktikan keupayaan Baxtech Resources dari segi teknikal, pengurusan projek, keselamatan dan kualiti kerja setaraf piawaian antarabangsa,” katanya.

Lebih membanggakan, 100 peratus tenaga kerja Baxtech Resources terdiri daripada warga tempatan, menjadikan kejayaan ini bukan sahaja milik syarikat tetapi juga hasil sumbangan anak tempatan dalam bidang berkemahiran tinggi seperti kejuruteraan, fabrikasi dan penyelenggaraan.

Katanya, melalui latihan berterusan dan pemindahan teknologi, Baxtech Resources berjaya melahirkan tenaga kerja tempatan yang kompeten dan berdaya saing, sekali gus menyokong pembangunan industri dan ekonomi negara.

Perkasa tenaga kerja

Beliau berkata. selain pertumbuhan perniagaan, Baxtech Resources turut menumpukan usaha kepada pembangunan tenaga kerja tempatan, dengan melatih dan memperkasa rakyat tempatan agar mampu memberikan perkhidmatan yang efisien, berkualiti tinggi, dan selamat sejajar dengan piawaian industri minyak dan gas.

 

Azizi Mat Ali, Pengarah Urusan Baxtech Resources

Azizi menegaskan, Baxtech Resources merupakan salah satu vendor yang memegang Sijil Anak Terengganu (ATC) yang diberikan oleh Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu.

Pendaftaran ini memberi peluang kepada kepada syarikat itu untuk menyertai lebih banyak inisiatif dan projek yang mengutamakan vendor tempatan, di samping menyumbang secara langsung kepada pembangunan ekonomi dan tenaga kerja negeri sendiri.

“Pensijilan Anak Terengganu (ATC) telah banyak membantu Baxtech Resources, khususnya dari aspek peningkatan keterlihatan dan pengukuhan kredibiliti sebagai sebuah syarikat tempatan yang diiktiraf oleh kerajaan negeri dan industri.

“Selain itu, pensijilan ATC turut membuka peluang jaringan professional dan kerjasama strategik dengan agensi kerajaan, syarikat berkaitan Kerajaan (GLC) serta syarikat minyak dan gas lain, sekali gus meningkatkan peluang syarikat yang berdaftar untuk mengembangkan operasi ke skala yang lebih besar.

“Kerjasama jitu antara Baxtech Resources dan kerajaan negeri juga elemen penting bagi Baxtech Resources untuk mencapai kejayaan hingga ke tahap sekarang.

“Selain itu, Baxtech Resources juga bergiat aktif dalam Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR). Antaranya menjadikan Sekolah Kebangsaan Paka 2 dan sebuah rumah anak yatim sebagai sekolah dan rumah angkat selain program lain seperti program sumbangan dan pembersihan masjid secara tahunan, pembersihan pantai, pelepasan anak
penyu dan pelbagai lagi aktiviti kebajikan dan kelestarian alam,” katanya.

Baxtech Resources membuktikan keupayaan syarikat tempatan untuk bersain dalam industri minyak dan gas melalui komitmen terhadap kualiti, keselamatan dan pembangunan tenaga kerja. Kejayaan ini bukan sahaja mengangkat nama syarikat, tetapi turut memberi inspirasi kepada pemain tempatan untuk terus melangkah ke hadapan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top