Rangkul dua emas, Fahrin mahu sujud syukur di Masjid Sri Sendayan


helmi.talkah@bh.com.my

Serdang: Selepas melakar kejayaan manis meraih dua pingat emas pada penampilan terakhirnya di Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026, atlet Terengganu, Muhammad Fahrin Aiman Yusmizan memilih cara tersendiri untuk meraikannya apabila merancang menunaikan solat Subuh berjemaah dan melakukan sujud syukur di Masjid Sri Sendayan, Negeri Sembilan, pagi esok.

Fahrin berkata, hasrat mengunjungi masjid berkenaan sudah lama dipendam sejak tahun lalu, namun belum berkesempatan untuk menunaikan solat di situ.

Kini, selepas berjaya melengkapkan misi dua emas di pentas SUKMA terakhirnya, dia mahu mengambil peluang itu sebagai tanda kesyukuran selain melihat sendiri keindahan masjid yang dianggap antara paling cantik di Malaysia.

“Saya nak pergi Masjid Sri Sendayan untuk solat Subuh dan sujud syukur. Dari tahun lepas saya memang nak pergi masjid itu tetapi tak dapat-dapat.

“Dengar kata Masjid Sri Sendayan antara masjid paling cantik di Malaysia. Insya-Allah Subuh nanti saya dapat pergi dengan bantuan jurulatih,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlumbaan.

Fahrin, 21, melengkapkan koleksi emas kedua selepas mengungguli acara 5,000 meter (m) lelaki dengan catatan 15 minit 35.770 saat (s) yang juga rekod peribadi terbaiknya pada aksi di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM), hari ini.

Perak acara itu dimenangi T Jayvind dari Negeri Sembilan dengan catatan 15:41.230s, manakala M Devindra meraih gangsa menerusi 15:44.150s.

Sebelum itu, Fahrin membuka kempen SUKMA terakhirnya dengan emas acara 3,000m lari berhalangan menerusi catatan 9:32.880s kelmarin.

Fahrin berkata, kejayaan itu adalah rezeki daripada Allah SWT selepas dia menempuh perjalanan panjang bersama sokongan kerajaan negeri Terengganu, Majlis Sukan Negeri Terengganu, jurulatih Hafiz Edward serta keluarganya.

“Saya nak ucapkan syukur kepada Allah SWT kerana dah beri rezeki saya menang emas kedua. Kelmarin saya menang steeplechase (3,000m lari berhalangan), hari ini memang dah sasar untuk menang 5,000m.

“Saya nak ucapkan terima kasih juga kepada kerajaan negeri Terengganu, Majlis Sukan Negeri Terengganu, pegawai bertugas dan paling utama coach Hafiz Edward yang banyak bantu saya masa jatuh bangun,” katanya yang mengakui kemenangan itu menebus kekecewaan selepas dia gagal meraih pingat dalam acara 1,500m, semalam.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top