Majlis perasmian dan pengenalan pasukan LTdL 2024 berlangsung di Dataran Lang pada Jumaat. Foto LTdL
DATARAN Lang, Kuah di Langkawi kembali menjadi saksi kepada kemeriahan majlis pengenalan 22 pasukan bertanding pada perlumbaan jelajah berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 pada Jumaat.
Kali terakhir Langkawi menjadi tuan rumah majlis simbolik sebelum perlumbaan bermula secara rasmi itu adalah pada 2018.
Majlis berkenaan disempurnakan oleh Tunku Mahkota Kedah Tunku Shazuddin Ariff Sultan Sallehuddin, dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim.
Sebanyak 132 pelumba yang mewakili 22 pasukan berstatus WorldTeam, ProTeam, Continental, dan pasukan kebangsaan, bakal memberikan saingan sengit pada edisi kali ini. Perlumbaan ini meliputi jarak keseluruhan sebanyak 1,190 kilometer (km) yang membabitkan 10 negeri di Semenanjung Malaysia serta Sarawak.
Perlumbaan LTdL 2024 akan bermula pada Ahad ini di Langkawi untuk Peringkat 1, diikuti Peringkat 2 dari Arau ke Butterworth, Taiping ke Cameron Highlands (Peringkat 3), Kuala Kubu Baru ke Bentong (Peringkat 4), Kuala Lumpur ke Melaka (Peringkat 5), Batu Pahat ke Kulai (Peringkat 6), Miri ke Bintulu (Peringkat 7), dan Bintulu (Peringkat 8).
Perlumbaan Peringkat 1 meliputi jarak 96.5km dari Kuah mengelilingi Pulau Langkawi dengan kesemua pasukan akan menempuh satu pendakian kategori empat di Look Out Point Langkawi selain tiga zon pecut di Harbour Park, Bayas dan Padang Matsirat.- Bernama