Sambutan luar biasa buat pasukan Switzerland

Sambutan luar biasa buat pasukan Switzerland


Zurich: Beribu-ribu penyokong memberikan sambutan wira kepada skuad bola sepak Switzerland yang pulang ke tanah air hari ini selepas mencipta sejarah mara ke suku akhir Piala Dunia buat kali pertama dalam tempoh 72 tahun.

Penyokong memenuhi Dataran Turbinenplatz di Zurich bagi menyambut kepulangan skuad Nati selepas kempen cemerlang mereka di Amerika Syarikat dan Kanada.

Mereka berbangga dengan pencapaian pasukan yang berasal dari negara kecil dan hanya berada di ranking ke-19 dunia tetapi mampu memberi saingan di pentas terbesar bola sepak.

Switzerland kini berada dalam prestasi memberangsangkan selepas turut mara ke suku akhir dalam dua edisi terakhir Kejuaraan Eropah (Euro).

Pemain dan jurulatih, Murat Yakin yang mengenakan kemeja-T merah tertera perkataan “History”, diraikan di atas pentas berlatarbelakangkan slogan “We are Switzerland” yang dipaparkan dalam empat bahasa rasmi negara itu iaitu Jerman, Perancis, Itali dan Romansh.

“Kami pasti mahu kekal seminggu lagi di sana.

“Tetapi sudah tentu ia juga sesuatu yang indah dapat pulang dan disambut penyokong sendiri seperti ini.

“Kami amat bangga dengan apa yang dicapai oleh semua kakitangan dan pemain,” kata Yakin.

Penyokong turut menari bersama pemain di atas pentas, dengan ramai hadir memakai baju merah dan topi yang memaparkan lambang salib Switzerland.

Ketua pasukan, Granit Xhaka mengakui sukar untuk menggambarkan sepenuhnya pencapaian mereka di Piala Dunia kali ini.

“Secara keseluruhan, ia adalah kejohanan yang baik. Kami boleh berbangga dengan apa yang dicapai.

“Malangnya ia masih belum mencukupi. Dengan sedikit tuah, mungkin kami mampu pergi lebih jauh. Tetapi itu sebahagian daripada bola sepak dan kami menerimanya,” katanya.

Switzerland tewas 1-3 kepada Argentina selepas masa tambahan pada aksi suku akhir di Kansas City, Sabtu lalu.

Switzerland muncul juara Kumpulan B selepas seri 1-1 dengan Qatar sebelum menewaskan Bosnia-Herzegovina 4-1 dan tuan rumah bersama, Kanada 2-1 di Vancouver.

Pada peringkat kalah mati, mereka menyingkirkan Algeria 2-0 dan Colombia menerusi penentuan penalti 4-3 selepas terikat tanpa jaringan sebelum tewas kepada Argentina.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top