JAKARTA: Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, berharap kebakaran hutan dan tanah di beberapa wilayah dapat dikawal dalam tempoh dua minggu.
“Saya percaya keadaan mula dapat dikawal dan masalah ini sedang ditangani. Saya berharap semua kebakaran yang berlaku di beberapa kawasan dapat dipadamkan sepenuhnya dalam tempoh satu hingga dua minggu,” katanya ketika melancarkan program tenaga solar berkapasiti 100 GW.
Dalam ucapan yang disiarkan secara langsung dari Jembrana, Bali, pada Selasa, Prabowo berkata, dunia kini sedang mengalami kesan El Nino, sambil menyatakan fenomena iklim global itu menyebabkan musim kemarau yang lebih teruk di Indonesia tahun ini.
Mengimbas pemerhatian beliau baru-baru ini terhadap usaha menangani kebakaran hutan di Kalimantan dan Sumatera, presiden itu merakamkan penghargaan terhadap usaha bersepadu pelbagai kementerian, agensi, kerajaan wilayah, polis dan tentera.
“Semua institusi bekerja dengan berkesan,” tambah Prabowo.
Beliau menjelaskan bahawa pihak berkuasa telah mengerahkan peralatan dan anggota yang mencukupi untuk mencegah serta memadam kebakaran hutan di pelbagai wilayah, termasuk puluhan helikopter selain pesawat untuk operasi pengeboman air, termasuk pembinaan telaga tiub bagi memastikan bekalan air mencukupi.
Beliau menegaskan bahawa ribuan anggota daripada pelbagai agensi telah dikerahkan untuk mencegah dan memadam kebakaran hutan di banyak kawasan di seluruh negara.
Kebakaran hutan itu telah menyebabkan asap bergerak ke Borneo Malaysia, dengan enam kawasan di Sarawak pernah merekodkan kualiti udara pada tahap tidak sihat.
Keluasan kawasan yang terbakar sudah melebihi keluasan ketika musim El Nino sebelum ini pada 2019 dan 2023
El Nino ialah fenomena iklim semula jadi yang menyebabkan perubahan pada corak angin, tekanan udara dan taburan hujan di seluruh dunia.
Fenomena ini biasanya menyebabkan cuaca kering dan kemarau di Indonesia. – AGENSI
