Ketegangan Asia Barat kembali memuncak akibat serangan AS-Iran

Ketegangan Asia Barat kembali memuncak akibat serangan AS-Iran


TEHERAN: Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan untuk malam ketiga berturut-turut ke atas Iran ketika Presiden Donald Trump melaksanakan semula sekatan ke atas pelabuhan Iran pada Selasa.

Tentera AS  berkata, operasi serangan selama lima jam itu menyasarkan beberapa lokasi di seluruh Iran, termasuk kawasan pesisir Bushehr dan Bandar Abbas  bagi melemahkan ke­upayaan Iran untuk menyerang kapal-kapal komersial .

Selepas serangan itu, Kor Pengawal Revolusi Iran mengumumkan bahawa mereka telah melancarkan peluru berpandu dan dron ke arah Bahrain de­ngan menyasarkan sebuah ba­ngunan kediaman yang menempatkan anggota tentera AS serta beberapa kemudahan lain.

“Kami akan menyerang me­reka dengan sangat hebat malam ini, dan kami akan menyerang mereka dengan lebih hebat lagi esok,” kata Trump di Rumah Putih pada Isnin.

Pengumuman Trump me­ngenai sekatan di Selat Hormuz dibuat susulan serangan AS dan Iran yang berlaku pada skala yang tidak pernah disaksikan sejak gencatan senjata pada April dimeterai dalam konflik di Asia Barat, sekali gus me­nimbulkan keraguan terhadap usaha menamatkan perang itu secara berkekalan.

Iran mula menyekat Selat Hormuz selepas serangan AS dan Israel pada 28 Februari, yang mendorong Washington melaksanakan sekatan ke atas pelabuhan-pelabuhan negara tersebut. 

Bagaimanapun, sekatan itu dilonggarkan selepas kedua-dua pihak mencapai perjanjian awal pada Jun.

Namun, Trump pada Isnin berkata, AS kini mengambil alih Selat Hormuz dan akan me­ngenakan bayaran sebanyak 20 peratus ke atas semua kapal kargo yang melalui laluan itu, satu pengumuman yang mengundang sindiran dari Iran selain menuduh Washington sebagai lanun.

Harga minyak melonjak lebih sembilan peratus pada Isnin berikutan kebimbangan terhadap konflik yang kembali memuncak, sebelum meningkat lagi lebih satu peratus pada Selasa.

Teheran turut melancarkan serangan terhadap sekutu-sekutu AS lain di rantau itu, terma­suk Jordan, yang memaklumkan pihaknya berjaya memintas empat peluru berpandu yang dilancarkan Iran.

Kor Pengawal Revolusi Iran berkata, serangan mereka me­nyasarkan tentera AS di sebuah pangkalan udara dan menggesa rakyat Jordan supaya membuat tuntutan serius supaya pangkalan tentera Amerika yang menduduki rantau ini disingkirkan.

Serangan itu berlaku selepas Kor Pengawal Revolusi Iran mengumumkan pada Isnin bahawa mereka turut melancarkan serangan ke atas Bahrain, Jordan, Kuwait dan Oman.

Ia menegaskan bahawa pi­haknya hanya menyasarkan kepentingan AS di Teluk. Namun, jurucakap pemerintah tenteranya berkata, sebarang kerjasama negara-negara Teluk dengan Washington  akan dianggap sebagai tindakan perang.

Trump minggu lalu secara rasmi memaklumkan kepada Kongres bahawa Amerika telah menyambung semula operasi ketenteraan terhadap Iran, kata Rumah Putih kepada AFP.

Pemberitahuan itu  sekali gus memberi Pentagon tambahan 60 hari untuk menjalankan operasi di rantau itu tanpa memerlukan kelulusan Kongres.

Trump turut mengancam untuk memusnahkan Gunung Pickaxe, sebuah kemudahan nuklear bawah tanah yang dibina jauh di bawah permukaan bumi berhampiran Natanz, yang disyaki oleh perisikan Barat sebagai lokasi pembinaan kemudahan pengayaan uranium yang tidak diisytiharkan.

“Beritahu rakyat Iran supaya bersedia. Beritahu mereka bahawa kami akan datang dan mereka langsung tidak mampu berbuat apa-apa untuk menghalangnya,” katanya kepada hos radio konservatif, Hugh Hewitt.

Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi kemudian membalas secara sinis menerusi platform X dengan berkata, Trump sememangnya betul bahawa pihak yang menjamin keselamatan pelayaran wajar menerima bayaran. Namun, katanya, Teheran akan mengenakan kadar yang lebih rendah. 

Pada Ahad lalu, tiga dron Corsair milik AS menyasarkan sebuah kemudahan penyelenggaraan kapal selam dan kapal di pelabuhan itu sekali gus menandakan kali pertama tentera Amerika menggunakan dron laut dalam operasi tempur.

Sebelum itu, AS  menyasarkan kawasan perimeter di sekitar satu-satunya loji tenaga nuklear awam milik Iran dalam satu serangan pada Khamis.

Serangan AS ke atas Iran itu telah mengorbankan 17 orang dan mencederakan 78 yang lain, menurut Kementerian Kesihatan Iran. – AGENSI/AFP

 



Source link

OR

Scroll to Top