Pelawak dan usahawan Ajak Shiro meluahkan rasa syukur restoran Bumbu Babah miliknya menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records apabila berjaya menjual nasi padang paling banyak dalam sehari iaitu 23,674 hidangan.
Memetik Oh Bulan, Ajak berkata pada awalnya dia hanya memberi sokongan terhadap minat anaknya dalam dunia perniagaan namun tidak sangka Bumbu Babah mencapai kejayaan luar biasa.
BACA: Ajak Shiro Bangga Anak Sulung Mampu Urus Jenazah
“Saya memang tak terfikir pun Bumbu Babah akan berjaya sampai ke tahap ini. Pada awalnya, niat saya cuma untuk melayan anak saya yang ingin berniaga.
Saya pun tertanya-tanya sama ada jual nasi padang ini okey atau tidak sebab menu nasi padang bukan makanan harian kita, walaupun kita biasa dengar.
“Saya tak sangka dalam masa satu tahun satu bulan, kami berjaya mencatat rekod sebanyak 23,674 hidangan dalam satu hari. Jadi saya sangat bersyukur atas sokongan pelanggan-pelanggan kami,” katanya.
Sementara itu, Ajak turut meluahkan rasa syukur dengan jualan yang diraih kini pernah melebihi RM40 juta sebulan dan mempunyai 40 cawangan.
“Bumbu Babah bermula dengan satu outlet sahaja dengan jualan sekitar RM200,000 sebulan. Sekarang, apabila sudah mencapai 40 outlet, jualan bulanan kami pernah melebihi RM4 juta sebulan.
“Malah hampir mencecah RM5 juta untuk satu bulan. Kami berharap pencapaian ini akan berterusan sehingga mencapai 100 outlet pada masa akan datang,” katanya.
Sumber: Oh Bulan






