Perang tarif dorong rakyat Kanada boikot produk AS

Perang tarif dorong rakyat Kanada boikot produk AS


OTTAWA: Konflik perdagangan yang semakin memuncak dengan Amerika Syarikat (AS) mendorong rakyat Kanada meningkatkan sokongan terhadap produk tempatan, ketika kerajaan Perdana Menteri Mark Carney menggalakkan boikot barangan dari negara jiran itu.

Sejak Presiden AS, Donald Trump memperkenalkan tarif terhadap Kanada tahun lalu, kempen memboikot barangan AS semakin mendapat sambutan.

Wain dan minuman beralkohol dari AS dikeluarkan dari rak di kebanyakan wilayah Kanada, manakala jumlah rakyat Kanada yang melancong ke AS turut merosot.

Kerajaan Kanada kini mahu mengukuhkan lagi kempen membeli barangan tempatan.

Menteri Kewangan, Francois-Philippe Champagne berkata, rakyat mempunyai kuasa untuk mempengaruhi ekonomi melalui pilihan pembelian mereka.

“Kita boleh memilih untuk membeli barangan Kanada dan kita mesti memilih untuk membeli barangan Kanada,” katanya ketika mengumumkan tindakan Kanada susulan tarif baharu AS pada Selasa.

Menteri Perindustrian, Melanie Joly pula berkata, pembelian produk tempatan bukan sahaja memberi tekanan kepada AS, malah membantu melindungi pekerjaan di Kanada.

Menurut Pengurus sebuah pasar raya di Montreal, Peter Gianopolis, perubahan dalam corak pembelian pengguna sudah dapat dilihat sejak kerajaan Kanada menghentikan rundingan perdagangan dengan Washington.

“Pelanggan bertanya dari mana produk datang dan sentiasa memilih produk dari Quebec, walaupun harganya lebih mahal,” katanya.

Sesetengah peruncit juga mengambil kesempatan menggalakkan pengguna menyokong ekonomi tempatan.

Selain makanan dan barangan keperluan harian, kempen boikot itu turut memberi kesan kepada sektor pelancongan.

Boikot pelancongan itu menyebabkan jumlah rakyat Kanada yang melancong ke AS susut 25 peratus tahun lalu, namun trend berkenaan mula menunjukkan tanda-tanda kembali pulih sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Pengusaha pelancongan di beberapa negeri AS yang bersempadan dengan Kanada kini menawarkan pelbagai promosi dan diskaun bagi menarik semula pelancong Ottawa.- AFP



Source link

OR

Scroll to Top