KEJAYAAN Selangor FC membawa pulang tiga mata dari Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin ketika menewaskan Terengganu FC, 1-0 adalah hasil kerja keras dan persediaan rapi The Red Giants.
Malah pengendali Selangor FC, Mohd Nidzam Jamil menyifatkan gol 27 saat dihasilkan penyerang kelahiran Chile, Ronnie Fernandez penting dalam memberikan rangsangan dan kelebihan kepada pasukan pelawat.
“Jika ditanya gol 27 saat adalah nasib atau sebaliknya, pada saya nasib dalam sukan adalah persediaan dan kerja keras, kita tidak akan bernasib baik apabila tidak melakukan persediaan dan kerja keras pada tahap terbaik.
“Nasib baik ini adalah persediaan dan kerja keras, namun saya percaya Selangor telah melakukan persediaan rapi untuk berdepan Terengganu dan pemain-pemain juga bekerja keras untuk mendapatkan gol 27 saat tersebut, ya ada sedikit unsur nasib tapi saya lebih gemar menyatakannya hasil persediaan dan kerja keras pasukan.
“Jaringan awal itu juga yang menjadikan taktikal dan momentum perlawanan malam ini sedikit berbeza separuh masa pertama dan kedua,” katanya selepas perlawanan tersebut.
Red Giants sebelum itu membawa pulang tiga mata dari Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, selepas menjinakkan Terengganu, 1-0 hasil jaringan Fernandez.
Penyerang import Chile itu mencipta sensasi apabila meledak gol kemenangan seawal 27 saat selepas menyudahkan hantaran Alvin Fortes, sekali gus meleburkan rekod tanpa kalah skuad Penyu di laman sendiri dalam lima perlawanan.
Tambah Nidzam lagi, kemenangan di Terengganu itu juga penting kerana Red Giants tidak meraih kemenangan di laman lawan dalam saingan musim ini.
“Jadi adalah penting kita menang di sini untuk moral serta meningkatkan motivasi pemain-pemain. Kita perlu keluar tanggapan menyatakan Selangor gagal mendapatkan mata apabila beraksi di laman lawan.
“Di Cheras (Kuala Lumpur City) kalah, di Temerloh (Sri Pahang) seri manakala di Likas (Sabah) menang jadi untuk menang di Terengganu bukan sesuatu mudah. Perlawanan di sini sangat terbuka sehingga minit ke-90, dan keputusan di sini penting sebab kita hendak kekal di tangga dua teratas sebaiknya,” katanya.