“Kami Tak Kejar Besar Semata-Mata” – Issey Fazlisham Gabung Elemen Seni, Keluarga & Komuniti

“Kami Tak Kejar Besar Semata-Mata” – Issey Fazlisham Gabung Elemen Seni, Keluarga & Komuniti


Pelakon dan penyampai radio, Issey Fazlisham mahu menyatukan elemen seni, keluarga dan komuniti.

Kini turut aktif sebagai pengarah untuk festival Makar Fest, Issey berkata penganjuran Makar Fest XL yang bakal diadakan pada 29 hingga 31 Januari ini diwujudkan sebagai titik temu tiga perkara itu.

“Kami tak mengejar ‘besar’ semata-mata, kami mahu festival ini terasa lebih bermakna. Kami nak komuniti ada ruang untuk berniaga, bertukar idea dan bina jenama sendiri,” katanya.

Festival yang bakal berlangsung tiga hari itu tampil sebagai versi yang diperbesar dari segi skala, namun lebih ditekankan pada tujuan dan impak, khususnya kepada usahawan kecil, peniaga tempatan dan penggiat seni.

Issey turut memaklumkan pelbagai aktiviti disusun sepanjang tiga hari bagi menarik pengunjung pelbagai peringkat umur, termasuk pelancong luar yang ingin merasai suasana dan keunikan Kelantan dalam pengalaman festival yang meriah.

Menurut Issey, fokus Makar Fest XL juga bukan sekadar jualan harian, sebaliknya membantu peniaga dan penggiat seni mengukuhkan nama produk agar terus dikenali untuk jangka panjang.

“Bila komuniti dapat ruang yang betul, keyakinan untuk bina branding sendiri akan naik. Itu yang kami mahu,” katanya.

Bagi memeriahkan program, festival turut menampilkan barisan artis dan penggiat seni tempatan seperti Kugiran Masdo, Sabri Yunus, Wan Hanafi Su, Zack Budak Kacamata, Budak Nakal Hujung Simpang dan Wargaswara, sekali gus membuka peluang ekosistem hiburan yang lebih sihat untuk berkarya dan menjana pendapatan.

Penganjur dalam masa sama menitikberatkan aspek keselamatan dan kesihatan agar festival berskala besar itu kekal selamat serta sesuai untuk semua.

Issey berkata pengisian positif turut diberi perhatian menerusi elemen pendidikan santai seperti sesi dialog anak muda, perkongsian pengalaman hidup dan perbincangan realiti kehidupan yang disampaikan secara tidak formal supaya lebih mudah didekati.

“Kami bergerak ke depan tanpa buang akar. Ilmu tak semestinya hanya di bilik kuliah, festival pun boleh jadi ruang pembelajaran yang baik untuk semua,” katanya.

Sokongan turut datang daripada syarikat besar apabila CelcomDigi tampil menyokong penganjuran tersebut, bersama Madoo Bee dan beberapa produk tempatan lain.



Source link

OR

Scroll to Top