am@hmetro.com.my
Alor Setar: Kementerian Dalam Negeri (KDN) membidas kenyataan peguam yang mendakwa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) enggan mematuhi arahan mahkamah berhubung pengeluaran MyKad kepada seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata dakwaan itu tidak menggambarkan fakta sebenar kes memandangkan setiap proses perlu dilaksanakan mengikut tatacara undang-undang yang ditetapkan.
Katanya, kes berkenaan berada dalam pengetahuan JPN sejak awal apabila ibu bapa remaja terbabit hadir ke pejabat JPN untuk memohon MyKad.
“Melalui penampilan fizikal, didapati anak ini dan ibu bapanya langsung tidak seiras. Siasatan mendapati ibu bapa mengakui bahawa maklumat kelahiran anak ini diperoleh daripada sebuah hospital swasta yang berada dalam senarai hitam JPN kerana terlibat dalam sindiket mengeluarkan maklumat kelahiran secara tidak sah.
“Ibu bapa mengetahui bahawa sijil kelahiran anak ini diperoleh secara tidak sah ketika bayi. Apabila anak ini meningkat usia, perbezaan tersebut menjadi ketara. Pengakuan ini tidak disebut oleh peguam berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan Peringkat Negeri Kedah di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Saifuddin berkata, JPN tidak mempunyai masalah untuk melaksanakan keputusan mahkamah yang mengarahkan remaja terbabit diberikan kewarganegaraan, selaras dengan Perkara 14(1)(e) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan status warganegara kepada bayi yang tidak diketahui asal kelahirannya.
Namun jelas beliau, sebelum MyKad boleh dikeluarkan, sijil kelahiran yang sah perlu diperoleh terlebih dahulu melalui proses pendaftaran lewat kerana sijil kelahiran asal diperoleh secara tidak sah dan remaja itu kini berusia 17 tahun.
“Untuk mendapatkan sijil kelahiran, hanya perlu mengisi borang pendaftaran lewat seperti yang ditetapkan di bawah Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian.
“Dakwaan bahawa JPN mempersulitkan proses dengan mensyaratkan sokongan wakil rakyat adalah tidak benar kerana pengesahan boleh dibuat oleh wakil rakyat, pegawai kerajaan atau mana-mana pihak berkaitan,” katanya.
Beliau berkata, JPN akan melaksanakan sepenuhnya perintah mahkamah, bermula dengan pengeluaran sijil kelahiran secara sah sebelum MyKad dikeluarkan seperti biasa, sambil menyifatkan isu itu tidak sepatutnya dipolemikkan.
Ini kerana Saifuddin berkata rekod KDN menunjukkan jumlah kes kewarganegaraan tertunggak berjaya dikurangkan secara ketara daripada kira-kira 50,000 kes kepada kurang 4,000 kes dalam tempoh tiga tahun sejak beliau menerajui kementerian itu, sekali gus menafikan dakwaan kononnya JPN gagal melaksanakan tanggungjawabnya.
Sebelum ini, media melaporkan sekumpulan peguam mewakili seorang remaja yang disahkan mahkamah pada bulan lalu sebagai seorang warganegara Malaysia membidas sikap JPN kerana enggan mematuhi arahan hakim.
Pada 8 Disember, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberikan tempoh 30 hari kepada JPN dan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution untuk mengeluarkan MyKad biru kepada remaja terbabit, seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun yang selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bulan lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd






