Nur Nadhirah senang layan karenah haiwan

Nur Nadhirah senang layan karenah haiwan


asmaini@mediaprima.com.my

Ketika ramai wanita seusianya sibuk mengejar kerjaya lebih glamour dan selesa, Nur Nadhirah Zunaidi, 26, memilih berpanas di ladang ternakan, bergelumang dengan najis haiwan.

Dek kerana minat mendalam kepada haiwan, semua itu bukan cabaran besar kepada anak kedua daripada tiga beradik ini.

Ini kerana, kerjaya sebagai Penolong Pegawai Veterinar memerlukan Nur Nadhirah bukan sahaja mahir menjaga kesihatan dan kebajikan haiwan, malah ‘melayan’ kerenah haiwan terbabit.

Namun, jika melihat daripada luaran, pasti ramai tidak menyangka wanita kecil molek ini mampu menjaga dan menguruskan puluhan haiwan ternakan yang berkali ganda daripada saiz badannya.

Apatah lagi jika mendengar atau melihat Nur Nadhirah berbicara secara langsung di laman sosial, kepetahan dan sifat ‘happy go lucky’ wanita ini mengundang perasaan ingin tahu terhadap kerjaya sebenarnya.

Menurut Nur Nadhirah, menceburi bidang berkaitan haiwan itu adalah pilihannya dan bukan kebetulan.

Katanya, selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dia menyambung pengajian peringkat diploma dalam bidang kesihatan haiwan dan penternakan di Universiti Putra Malaysia (UPM) kampus Bintulu, Sarawak.

“Selepas tamat diploma, saya bekerja sebagai pembantu veterinar di dua hospital veterinar selama dua tahun sebelum diterima berkhidmat di Pusat Pertanian Putra UPM ini.

“Menceburi bidang veterinar bukan sahaja sesuai dengan minat terhadap haiwan, malah membantu saya berada selangkah lagi untuk menjadi doktor veterinar satu hari nanti,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai tuntutan kerjayanya, Nur Nadhirah berkata, rutin hariannya seperti waktu kerja kakitangan kerajaan biasa.

Kata Nur Nadhirah, pada sebelah pagi, kebiasaannya, dia dan rakan sekerja akan memberi makan lembu ternakan, memerah susu serta mencuci kandang.

“Memang nampak mudah, tetapi agak mencabar sebenarnya terutama untuk menghalau lembu ternakan (yang dibiar bebas) masuk ke kandang bagi diberi makan.

“Selain itu, jika ada haiwan yang memerlukan rawatan seperti cuci luka atau suntikan makanan tambahan, biasanya saya dan rakan sekerja akan melakukannya sendiri.

“Namun jika membabitkan pengendalian antibiotik untuk rawatan tertentu, ia dilakukan oleh pegawai veterinar (doktor veterinar),” katanya.

Menurut Nur Nadhirah, seperti pekerjaan lain, kerjaya itu juga mempunyai cabaran tersendiri.

Antara cabaran utama dihadapi Nur Nadhirah daripada segi kudrat kerana tenaga wanita tidak sekuat lelaki dalam mengendalikan haiwan ternakan.

Selain itu, untuk menjinakkan dan mendapatkan ‘kepercayaan’ haiwan ternakan juga bukan mudah dan prosesnya mengambil masa.

“Berdepan dengan haiwan memerlukan kita sentiasa berhati-hati kerana kemalangan boleh berlaku tanpa diduga.

“Haiwan boleh bertindak di luar jangkaan jika ia berasa terancam,” katanya.

Dalam pada itu, Nur Nadhirah juga memiliki hobi menarik untuk mengisi masa lapang.

Berbeza dengan sebahagian wanita yang gemar membeli-belah atau melakukan aktiviti santai, Nur Nadhirah pula lebih suka ‘membelek’ motosikal lasak (‘motorcross’) miliknya.

“Sejak jatuh cinta dengan motosikal lasak ini hampir dua tahun lalu, kebanyakan masa lapang saya dihabiskan untuk ubah suai, membaiki dan menyelenggaranya.

“Memang puas hati dapat melakukan semuanya sendiri, apatah lagi jika dapat menunggang secara santai bersama kawan-kawan sealiran hobi ini pada hujung minggu,” katanya.

Nur Nadhirah juga tidak lokek berkongsi pelbagai info menarik mengenai rutin hariannya dan penjagaan haiwan di media sosial.

Akaun TikToknya, ‘Saya vet nurse bukan Dr.’ kini memiliki lebih 100,000 pengikut dan menjadi antara figura yang mula mendapat perhatian di laman sosial.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top