'Scammer' sambilan ditahan, larikan emas dan wang tunai RM132,360

'Scammer' sambilan ditahan, larikan emas dan wang tunai RM132,360

'Scammer' sambilan ditahan, larikan emas dan wang tunai RM132,360


harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seorang wanita dipercayai bekerja sambilan sebagai ahli sindiket penipuan ditahan Sabtu lalu dalam dua serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang.

Ketua Polis Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, suspek seorang pekerja profesional syarikat swasta disyaki menipu mangsa dan berjaya melarikan sejumlah wang tunai, pelbagai barangan kemas termasuk kepingan emas seberat 172.77 gram.

“Pada 10 Januari mangsa wanita tempatan yang juga seorang penuntut universiti membuat laporan mendakwa ditipu sindiket phone scam oleh individu menyamar sebagai pegawai kanan Bukit Aman.

“Mangsa menerima panggilan daripada pegawai Touch ‘n Go mendakwa maklumat peribadinya digunakan untuk tujuan jenayah lalu disambungkan kepada pegawai polis berpangkat Asisten Komisioner,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju, di sini, hari ini.

Menurutnya, suspek memaklumkan bahawa mangsa kononnya terbabit dalam kegiatan pengubahan wang dan disiasat mengikut Akta Anti Pengubahan Wang (AMLA) dan mengarahkan mangsa melaporkan diri setiap tiga jam menerusi aplikasi WhatsApp.

Katanya, mangsa kemudian diarahkan untuk bertemu dengan seorang wanita iaitu suspek yang turut menyamar sebagai pegawai polis dan menyerahkan barangnya kemas serta wang tunai kononnya bagi tujuan siasatan.

Mohamad Lazim berkata, mangsa yang berusia 18 tahun hanya menyedari dirinya ditipu selepas memberitahu ibunya berhubung kejadian berkenaan lantas membuat laporan polis.

“Bertindak di atas maklumat, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Wangsa Maju berjaya memberkas tiga individu iaitu suspek utama yang berusia 29 tahun dan dua pengusaha kedai emas.

“Polis turut menemukan dan merampas sebuah Proton Iriz yang digunakan suspek ketika bertemu mangsa, beg tangan, telefon bimbit, seutas rantai leher, cincin, kerongsang, resit jualan emas, dan ketulan emas yang sudah dileburkan serta tunai RM560,” katanya.

Menurutnya, keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai lebih RM132,360 dan kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Katanya, suspek utama direman bagi membantu siasatan lanjut bagi mengenal pasti ahli sindiket yang lain kerana polis percaya wanita itu tidak bergerak solo.

Menurutnya, dua lagi suspek terdiri daripada seorang lelaki dan wanita tempatan berusia 28 dan 46 tahun pula akan dijadikan saksi pendakwaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top