Kumpulan rock popular, Akim & The Majistret terus mencipta kejayaan apabila single terbaharu mereka, Juliet berjaya menduduki tangga ketiga carta Malaysia iTunes Top Songs, sekali gus muncul sebagai satu-satunya lagu Melayu yang tersenarai dalam kelompok Top 3, bersaing dengan dua lagu antarabangsa paling popular ketika ini.
Pencapaian itu disifatkan sebagai satu kejayaan membanggakan buat industri muzik tempatan dan membuktikan penerimaan luar biasa peminat terhadap karya terbaharu kumpulan berkenaan.

Menurut vokalisnya, Akim Ahmad, kejayaan tersebut amat bermakna selepas penat lelah mereka menyiapkan lagu yang sarat emosi dan penceritaan.
“Kami tidak sangka Juliet akan menerima sambutan sebegini hebat. Ini adalah hadiah paling bermakna buat kami dan bukti bahawa muzik tempatan masih kuat apabila mendapat sokongan peminat,” katanya.
Tambah Akim, kedudukan di carta iTunes itu hadir secara organik tanpa sebarang gimik.
“Kejayaan ini sangat kami hargai kerana ia datang sepenuhnya daripada sokongan peminat. Kami tidak membeli angka atau menggunakan gimik, sebaliknya Juliet diterima kerana kekuatan lagunya sendiri,” jelasnya.
Dalam pada itu, Akim turut menyifatkan pencapaian tersebut sebagai suntikan semangat buat kumpulannya untuk terus berkarya dengan lebih jujur dan matang.
“Ini satu peringatan bahawa peminat sentiasa mahukan muzik yang ikhlas. Selagi kami jujur berkarya, kami percaya Juliet hanyalah permulaan kepada lebih banyak kejayaan selepas ini,” kongsinya.
Lebih menarik, video muzik berkenaan tampil dengan konsep unik apabila menampilkan sembilan wanita sebagai simbol ‘Juliet’, yang terdiri daripada barisan selebriti tanah air iaitu, Fauziah Datuk Ahmad Daud, Elly Mazlein, Nadia Brian, Sweet Qismina, Dr Soo Wincci, Evanatie, Nurel, Hawa Rizwana dan Farahdiya.
Menurut Akim, kehadiran sembilan figura wanita tersebut memberikan dimensi baharu kepada penceritaan lagu Juliet.
“Setiap ‘Juliet’ membawa makna yang berbeza. Kami mahu peminat melihat Juliet bukan sekadar lagu cinta biasa, tetapi simbol kepada kekuatan, luka dan keindahan emosi seorang wanita,” ujarnya.
Sejak dilancarkan, Juliet terus menerima reaksi positif di pelbagai platform penstriman digital dan media sosial, sekali gus mengukuhkan kedudukan Akim & The Majistret sebagai antara kumpulan paling berpengaruh dalam landskap muzik tempatan.
Dengan kejayaan di carta iTunes serta pelancaran video muzik yang dinanti-nantikan, Juliet dijangka akan terus mengukir sejarah tersendiri dalam perjalanan seni Akim & The Majistret.






