lokman.khairi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kira-kira 500 jemaah melaksanakan solat jenazah untuk pelakon, Allahyarham Nadia Kesuma di Masjid Thinyan, Jeddah di Arab Saudi, hari ini sebelum jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Dhahban pada jam 7.35 pagi (waktu tempatan).
Ketua Pegawai Operasi Nuh Travel & Tours, Adam Jalal berkata, suami kepada Nadia iaitu Prof Dr Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah tiba di Jeddah pada jam 9.40 malam semalam.
Katanya, Muhammad Kamarul disambut Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi, Datuk Syed Bakri Syed Abdul Rahman bersama pegawai Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah, wakil Nuh Travel & Tours serta pihak muassasah.
“Pada jam 10.35 malam, delegasi bergerak ke Hospital King Fahd bagi proses pengecaman jenazah oleh waris sebelum jenazah Allahyarham disolatkan buat kali pertama oleh suaminya sendiri.
“Solat jenazah kedua dilaksanakan di Masjid Thinyan, Jeddah dengan kehadiran dianggarkan kira-kira 500 jemaah.
“Jenazah Allahyarham dibawa ke Tanah Perkuburan Dhahban dan selamat dikebumikan pada jam 7.35 pagi waktu tempatan,” katanya melalui kiriman video di Facebook Nuh Travel & Tours, malam ini.
Adam turut merakamkan penghargaan kepada Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi, Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah atas keprihatinan dan bantuan yang diberikan sepanjang proses pengurusan jenazah.
Beliau juga menzahirkan terima kasih kepada Wisma Putra dan Tabung Haji yang membantu memudah cara segala urusan sehingga pengebumian selesai.
“Saya dengan rendah hati memohon seluruh rakyat Malaysia agar bersama-sama mendoakan semoga roh Allahyarham Nadia dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan hamba-Nya yang beriman serta beroleh syurga,” katanya.
Semalam, Muhammad Kamarul dan anaknya, Sarah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Jeddah pada jam 5.35 petang bagi menguruskan pengebumian Nadia di negara itu.
Nadia atau nama sebenarnya Nadiah Kasumawati Abdul Karim, 50, yang juga pelakon filem Syaitan Munafik, meninggal dunia pada Khamis lalu, iaitu hari sama beliau dilaporkan hilang di Jeddah, Arab Saudi.
Dalam satu hantaran di media sosial sebelum ini, Muhammad Kamarul memaklumkan isterinya hilang selepas gagal dikesan ketika transit di lapangan terbang di Jeddah ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke London.
© New Straits Times Press (M) Bhd






