Pesawat terhempas dekat pantai: Semua penumpang, kru selamat

Pesawat terhempas dekat pantai: Semua penumpang, kru selamat


Jakarta: Sebelas penumpang dan dua kru terselamat selepas pesawat kecil Smart Air yang terhempas di perairan Pantai Kaladiri, daerah Nabire, Papua Tengah, pada 1.30 tengah hari, semalam.

Mangsa diselamatkan pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) daripada Pos SAR Nabire bersama Tentera Nasional Indonesia (TNI), Polis Indonesia, petugas Lapangan Terbang Nabire dan penduduk setempat.

Memetik laporan Kompas, kesemua 13 individu terbabit berjaya menyelamatkan diri dengan memanjat ke atas badan pesawat yang terapung selepas kejadian, dan bertahan di situ sementara menunggu bantuan.

Proses evakuasi dilakukan dengan menarik badan pesawat menggunakan tali ke kawasan perairan yang lebih cetek dengan semua mangsa kekal berdiri berada di atas badan pesawat sepanjang proses itu.

Ketua SAR Biak, Kundori berkata, sebaik badan pesawat ditarik ke pantai, semua mangsa dikejarkan ke Hospital Umum Daerah (RSUD) Nabire untuk rawatan perubatan.

“Berdasarkan laporan yang diterima, 13 mangsa berjaya dievakuasi dan dihantar ke RSUD Nabire bagi rawatan lanjut.

“Pesawat itu juga sudah ditarik dari tengah laut ke pinggir pantai dan dijangka dibawa ke darat, kemungkinan menggunakan jentera berat,” katanya ketika dihubungi, petang semalam.

Mengulas punca pesawat Smart Air itu melakukan pendaratan cemas, Kundori berkata, pihaknya belum dapat memberikan kepastian kerana siasatan lanjut masih dijalankan.

“Punca kejadian belum dapat dipastikan dan kami masih menunggu pihak berkuasa berkenaan untuk mengumumkan hasil siasatan,” katanya.

Pesawat Smart Air jenis Caravan bernombor pendaftaran PK-SNS dilaporkan terhempas ketika dalam penerbangan dari Nabire menuju ke daerah Kaimana, Papua Barat.

Selepas berlepas, pesawat terbabit disyaki mengalami gangguan teknikal menyebabkan juruterbang cuba berpatah balik ke Lapangan Terbang Nabire sebelum terhempas di perairan Pantai Kaladiri.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top